KEBAKARAN yang memusnahkan sebuah bengkel dan tokong cina di Jalan Sri Segambut, Jinjang, Kuala Lumpur. -Foto FAZRIK
KEBAKARAN yang memusnahkan sebuah bengkel dan tokong cina di Jalan Sri Segambut, Jinjang, Kuala Lumpur. -Foto FAZRIK
Fazrik Kamarudin


BENGKEL kereta dan tokong Cina di Jalan Sri Segambut, Jinjang, Kuala Lumpur, musnah dalam kebakaran, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 9 pagi, bengkel dan tokong cina berstruktur tidak kekal itu terbakar sepenuhnya termasuk lima kenderaan.

Bagaimanapun, kebakaran tidak membabitkan kecederaan atau kehilangan nyawa.

Pengarah Bomba Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Khirudin Drahman @ Husaini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada 9.05 pagi.

“Seramai 28 anggota bersama lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang, BBP Hartamas dan BBP Sentul dikerah ke lokasi kebakaran.

“Jentera pertama tiba di lokasi kejadian empat minit kemudian dan kebakaran itu dapat dipadamkan sepenuhnya pada 12.34 tengah hari,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai BBP Jinjang, Mohamad Adha Md Nazir berkata, pihaknya berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah bersebelahan.

“Ketika tiba di lokasi, kami mendapati bengkel dan tokong cina bersambung antara satu sama lain, dan terletak bersebelahan dengan beberapa lagi unit rumah kediaman.

“Penduduk yang tinggal di dalam rumah berkenaan sempat berlari keluar menyelamatkan diri.

“Anggota bomba mengambil masa selama 30 minit untuk mengawal api daripada merebak ke rumah bersebelahan.

“Turut musnah adalah lima buah kenderaan, iaitu tiga kereta yang diletakkan di dalam bengkel dan dua buah kenderaan, sebuah van dan sebuah lori yang terletak di luar bengkel.

“Punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan Unit Forensik JBPM,” katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mei 2018 @ 7:08 PM