ZAITUN (dua kiri) bersama jentera Barisan Nasional (BN) melawat rumah mangsa yang dihempap pokok getah dalam kejadian ribut di Kampung Padang Tanjung, Marang, semalam. FOTO Khairul Hamizy Ramlee
Helmy Abd Rahman dan Baharom Bakar dan Khairul Hamizy Ramlee


“BERDERAU darah saya apabila sedar dahan pokok sebesar pemeluk orang dewasa jatuh atas bumbung bilik anak,” kata Hasmah Salleh, 50, dari Kampung Padang Tanjung di Marang.

Dalam kejadian pada 1.30 pagi semalam, dahan pokok getah seberat hampir 100 kilogram (kg) patah sebelum jatuh menembusi atap bilik anak Hasmah, Mohd Ashraf Shazrin, 12, yang ketika itu sedang nyenyak tidur.

“Ketika itu, ribut melanda dan saya pula baru terjaga daripada tidur. Tiba-tiba terdengar bunyi kuat seperti bedilan bom, dan tak lama selepas itu terdengar suara anak memanggil nama saya.

“Tanpa berlengah, saya terus bergegas ke bilik anak dan nampak dia sedang mencangkung di tepi dinding dalam keadaan menggigil. Lega hati saya apabila tahu dia tak apa-apa," katanya.

Hasmah berkata demikian kepada wartawan NSTP ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Musibah yang melanda ibu kepada lima anak berusia 12 hingga 27 tahun itu turut mendapat perhatian calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payung Toh Puan Zaitun Mat Amin yang melawat mangsa, malam tadi.

Zaitun yang memperuntukkan masa hampir setengah jam bersama keluarga itu, turut menghulurkan bantuan peribadi serta berjanji akan mendapatkan bantuan bagi meringankan beban mereka.

“Ini satu ujian dan pengajaran buat semua termasuk pihak berwajib supaya mengambil tindakan yang sewajarnya, dan saya harap keluarga ini sabar serta tabah menghadapi dugaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mei 2018 @ 9:32 PM