ANGGOTA polis membawa mayat seorang wanita tanpa pakaian berdekatan kawasan taman di Jalan Tugu, di Kota Kinabalu. FOTO NSTP/JUNAIDI LADJANA.
Junaidi Ladjana


HASRAT seorang ibu membawa dua anak perempuan bersantai di laluan pejalan kaki berdekatan kawasan taman di Jalan Tugu di Kota Kinabalu, terbantut apabila dikejutkan dengan penemuan mayat wanita tanpa pakaian, malam tadi.

Mayat wanita belum dikenal pasti identiti itu ditemui oleh Asnah Janan, 41, jam 8 malam.

Dia kemudian meminta bantuan pekerja sebuah stesen minyak berdekatan untuk menghubungi polis.

Asnah berkata, pada mulanya, dia tidak perasan berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, ketika duduk di kerusi di laluan pejalan kaki itu, dia terkejut melihat wanita terbaring tanpa pakaian.

"Saya curiga lalu mendekati dan menghulurkan tangan dekat hidung wanita itu, namun tiada tindak balas," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Susulan itu, Asnah meminta bantuan beberapa pekerja stesen minyak berhampiran.

Katanya, polis yang tiba tidak lama kemudian mendapati bahawa wanita itu sudah meninggal dunia.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, mengesahkan kejadian itu.

"Mayat belum dikenal pasti identiti itu dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HEQ) untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Chandra berkata, siasatan masih diteruskan dan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mei 2018 @ 10:23 AM