X
Sarah Zulkifli


TIGA individu termasuk suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini atas pertuduhan menipu seorang kontraktor untuk pelaburan projek Lebuh Raya Pantai Timur Selatan untuk menyerahkan wang RM1,060,000, dua tahun lalu.

Mohd Nasir Abu Hasan, 52, pengurus projek syarikat pembinaan dan isterinya Nazhatul Syahira Sanusi, 25, pengarah syarikat sama serta Wan Anizam Wan Ishak, 52, arkitek, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa bersama-sama bagi mencapai niat menipu S Lecthumanan, 47, dengan memperdayakannya untuk melabur dalam projek Lebuh Raya Pantai Timur Selatan yang diberikan kepada mereka sedangkan projek itu tidak wujud.

Tertuduh dengan curangnya mendorong Letchumanan menyerahkan wang sebanyak RM1,060,000 kepada mereka dan mangsa tidak akan menyerahkan wang itu sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Wisma Thiviya Builders Sdn Bhd, Jalan SP 2/4 Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan, pada September 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 seksyen sama dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Pengurus Projek Syarikat Pembinaan, Mohd Nasir Abu Hasan (kiri), dan isterinya, Nazhatul Syahira Sanusi (tengah) serta Arkitek, Wan Anizam Wan Ishak (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan menipu seorang kontraktor untuk pelaburan projek Lebuh Raya Pantai Timur Selatan dengan menyerahkan wang RM1,060,000, dua tahun lalu. FOTO NSTP/SADDAM YUSOFF
Pengurus Projek Syarikat Pembinaan, Mohd Nasir Abu Hasan (kiri), dan isterinya, Nazhatul Syahira Sanusi (tengah) serta Arkitek, Wan Anizam Wan Ishak (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan menipu seorang kontraktor untuk pelaburan projek Lebuh Raya Pantai Timur Selatan dengan menyerahkan wang RM1,060,000, dua tahun lalu. FOTO NSTP/SADDAM YUSOFF

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ashyraf Ashy'ari Kamaruzaman menawarkan jaminan RM100,000 setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Peguam bela, M Manoharan dan Lily Chua yang mewakili Mohd Nasir dan Nazhatul Syahira memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya perlu menanggung tiga cahaya mata serta ibu bapa.

Manakala peguam bela Datuk Suraj Singh yang mewakili Wan Anizam turut memohon jaminan rendah kerana anak guamnya hanya berpendapatan RM4,000 sebulan dan perlu menyara tiga orang anak.

Mahkamah membenarkan jaminan RM20,000 setiap tertuduh dengan seorang penjamin selain syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tarikh 6 Jun ini ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mei 2018 @ 1:46 PM
Digital NSTP Subscribe