SALAH seorang mangsa yang tersepit kakinya didalam ‘besi jerlus’ akibat kerosakkan penutup longkang di Jalan Chia Tze Chin, Miri. -Foto IHSAN PEMBACA
Mohd Rizal Abdullah


SEKURANG-KURANGNYA dua lelaki sudah menjadi mangsa ‘besi jerlus’ akibat penutup longkang rosak di Jalan Chia Tze Chin, Miri, sejak lebih sebulan lalu.

Kedua-duanya ‘terkoyak’ kulit apabila kaki mereka terperosok ke dalam celahan penutup longkang rosak itu.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri berkata, kejadian terbaru pada pagi hari ini membabitkan mangsa lelaki berusia 31 tahun.

Menurutnya, beberapa anggota bomba dari BBP Miri ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 8.46 pagi berhubung kejadian itu.

“Apabila tiba, kami dapati kaki kiri mangsa tersepit akibat terperosok ke dalam celahan penutup itu.

“Kami memotong satu daripada besi penutup bagi mengeluarkan kaki mangsa yang tersekat,” katanya.

Beliau berkata, kaki mangsa dikeluarkan 30 minit kemudian dan mangsa dibawa ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, peniaga berhampiran tempat kejadian yang enggan dikenali berkata, dua mangsa sebelum ini berjalan melalui kawasan berkenaan, namun tidak menyedari penutup longkang berkenaan rosak.

“Kaki mangsa terperosok hingga paras lutut mengakibatkan mangsa tersepit dan terpaksa mendapatkan bantuan pihak bomba.

“Difahamkan, penutup besi sementara sudah diletakkan kontraktor Majlis Bandaraya Miri (MBM) hari ini selepas kejadian terbaru itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mei 2018 @ 3:26 PM