GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


LELAKI tergamak meminta duit daripada adiknya dan mengugut memukulnya jika enggan memberikan wang dalam kejadian di Kampung Pengkalan Arang, Kuala Terengganu, kelmarin.

Kejadian dipercayai berlaku pada 6.30 petang ketika mangsa berusia 32 tahun berada di rumah sebelum didatangi suspek berusia 38 tahun.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, suspek dikatakan meminta sejumlah wang daripada mangsa dan mengugut akan mencederakan wanita terbabit jika tidak menunaikan permintaannya.

Beliau berkata, mangsa yang bimbang diapa-apakan akur dengan permintaan suspek lalu menyerahkan sejumlah wang kepada abangnya sebelum suspek beredar meninggalkan rumah.

"Mangsa memaklumkan suspek sebelum itu datang ke tempat kerjanya di restoran di Kuala Nerus kira-kira 9 pagi pada Sabtu lalu dalam keadaan mengamuk untuk meminjam motosikal.

"Bagaimanapun, mangsa tidak membenarkan suspek meminjam motosikalnya kerana bimbang suspek akan berbuat sesuatu dengan motosikal itu kerana abangnya adalah penagih dadah," katanya.

Idris berkata, susulan laporan dibuat mangsa, suspek berjaya ditahan di rumah di Kampung Tebauk di sini, 1.20 pagi semalam.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mei 2018 @ 4:02 PM