NAWI Ismail dinobatkan sebagai Tokoh Guru Terengganu 2018 pada Majlis Perayaan Hari Guru peringkat negeri kali ke 47 yang disampaikan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman di Stadium Tertutup Gong Badak. FOTO Rozainah Zakaria
Helmy Abd Rahman dan Malik Muhamad


“SAYA tak tahu cita-cita lain sebab saya orang kampung dan cita-cita saya hanya cikgu," kata Nawi Ismail, 61, yang dipilih sebagai Tokoh Guru Peringkat Negeri Terengganu 2018.

Katanya, beliau amat mencintai kerjaya perguruan sehingga pernah menolak tawaran untuk menjadi pensyarah di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.

"Selain tawaran menjadi pensyarah, saya juga pernah ditukarkan ke jabatan tapi ternyata kerja-kerja pengurusan tidak kena dengan jiwa.

"Sejak kecil lagi cita-cita saya hanya nak jadi cikgu dan saya memang suka mengajar serta tak tahu nak buat kerja lain," katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah berkenaan pada Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu 2018 di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, hari ini.

Memulakan kerjayanya pada 1980 di Sekolah Menengah Panji Alam, Kuala Terengganu sebelum bersara di Sekolah Menengah Teknik Kuala Terengganu tahun lalu, Nawi tidak mensia-siakan hari 'pencen'nya apabila terus aktif memberi ceramah dan kursus Bahasa Melayu kepada guru yang mengajar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di seluruh negara.

"Saya bantu cikgu-cikgu ini kaedah penulisan dalam Bahasa Melayu melalui modul yang saya cipta sendiri," katanya yang sudah mengarang 40 buku dan 300 artikel.

Nawi menerima anugerah berkenaan yang disampaikan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Sementara itu Ahmad Razif berkata, rakyat Terengganu rata-ratanya mahukan pemimpin daripada kalangan guru kerana mempunyai keyakinan golongan berkenaan mampu menjadi pemimpin cemerlang.

Hal ini dapat disaksikan menerusi pemilihan lapan daripada calon mewakili Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), 9 Mei ini, mempunyai latar belakang perguruan.

"Antara kriteria pemilihan calon BN oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) ialah mereka yang disenangi akar umbi dan saya menaruh sepenuh keyakinan bahawa guru atau bekas guru yang dipilih sebagai calon, tidak akan sesekali menghampakan rakyat jika diberi peluang," katanya.

Lapan calon BN yang mempunyai latar belakang perguruan adalah Ahmad Razif sendiri yang akan bertanding mempertahankan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, A Latiff Awang (Pengkalan Berangan), Ghazali Taib (Ajil), Datuk Rozi Mamat (Telemung), Che Mansur Salleh (Buluh Gading), Tuan Arif Shahibu Fadilah Tuan Ahmad (Bukit Tunggal), Bazlan Abdul Rahman (Batu Rakit) dan Datuk Rosol Wahid (Parlimen Hulu Terengganu).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mei 2018 @ 5:55 PM