RAKAMAN CCTV menunjukkan identiti lelaki yang dipercayai memecahkan tabung sebuah masjid di Jitra, hari ini. FOTO Tular Facebook
Zuliaty Zulkiffli


TINDAKAN seorang pencuri datang kali kedua untuk memecah tabung di sebuah masjid di Batu 13 Jalan Hospital Jitra, Jitra mengundang padah apabila ditahan polis, hari ini.

Lelaki, 22, ditahan di hadapan masjid itu pada 11 pagi hasil maklumat daripada jemaah masjid berkenaan.

Jemaah yang enggan dikenali, berkata lelaki berkenaan dikatakan ‘tertidur’ menyebabkan mereka sempat menghubungi polis untuk menangkapnya.

Menurutnya, pihaknya turut mendapati lelaki itu kelihatan sama seperti individu dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memecah tabung masjid terbabit, semalam.

“Kami sudah menular wajahnya di laman sosial selepas kejadian semalam sebaik mendapati sebuah tabung masjid ini dipecahkan kerana bimbang kejadian sama berulang.

“Kami mengesyaki dia akan datang semula ke sini (masjid) untuk melakukan kegiatan sama (pecah tabung),” katanya ketika dihubungi.

Katanya, mereka membuat laporan di Balai Polis Jitra berhubung kejadian pertama pada 11.45 pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan daripada Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid itu berhubung kehilangan wang selepas tabung masjid dipecahkan.

“Hasil rakaman CCTV mendapati lelaki yang tidak dikenali memakai baju t-shirt warna hitam dan berseluar jeans bertindak memecah tabung masjid berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati suspek bertindak mengumpil tabung yang berada di bahagian tengah menggunakan besi dan anggaran kerugian sekitar RM30,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, suspek ditahan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu sejurus maklumat diterima.

Katanya, pihaknya akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Jitra esok untuk membantu siasatan.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mei 2018 @ 10:17 PM