Razali (tiga kanan) beramah mesra bersama penduduk semasa berkempen menjelang PRU-14 di Sungai Balang Laut, Muar. FOTO Adi Safri
Badrul Kamal Zakaria

PENYANDANG kerusi Parlimen Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim menyambut cabaran debat daripada calon PKR bagi yang turut merebut kerusi sama, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dijangka diadakan pada hujung minggu ini.

Razali yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, bagaimanapun pihaknya masih belum menerima surat jemputan daripada Syed Saddiq.

“Saya sebenarnya sebagai wakil rakyat di sini, saya layan semua orang. Kalau perkara itu bawa faedah dan kebaikan, saya tak rasa ada masalah untuk menjayakan.

“Kalau nak berdebat sekali pun beritahulah tempat, tajuk apa. Kita belum terima surat itu. Kalau dia hantar pun tak ada masalah kalau benda itu membawa faedah dan kebaikan.

“Kalau dia rasa debat itu jadi keutamaan kepada mereka, why not. Saya tak ada masalah, tak ada syarat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri ramah mesra bersama penduduk dan masyarakat nelayan di Jeti Nelayan Kampung Sungai Balang Laut di Muar, hari ini.

Pada majlis itu, Razali turut meluangkan masa melihat replika kapal layar BN yang diperbuat daripada buluh dan menggunakan bendera BN dan UMNO.

Pada malam Isnin lalu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Program Harapan Sungai Balang di Parit Nawi mencadangkan Syed Saddiq untuk berdebat dengan Razali dan juga calon PAS bagi Parlimen Muar, Abdul Aziz Talib.

Syed Saddiq yang ditemui pada program sama menyambut cadangan terbabit dan mempelawa Razali dan Abdul Aziz untuk berdebat berkisar kepada tajuk ‘Pilih PH, BN atau PAS ke Putrajaya’.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mei 2018 @ 10:30 PM