PENGERUSI Badan Bukan Kerajaan (NGO) 99 Kesan, Muhd Ali Zakariah (tiga kanan) bersama rakan menunjukkan aplikasi "HebatkanNegeraku" di Taman Klang Jaya. FOTO Muhammad Sulaiman
Norzamira Che Noh


APLIKASI Hebatkan Negaraku yang dilancarkan Isnin lalu mendapat sambutan pelbagai lapisan masyarakat terutamanya generasi muda, di Klang.

Aplikasi yang membolehkan mereka berkomunikasi dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu menggunakan teknologi hologram untuk memunculkan dan menayangkan imej holografik Najib di atas trak khas dan berbicara dengan pengundi 'secara langsung'.

Pengundi, Mustakim Zainoor, 35, berkata, pelancaran aplikasi berkenaan adalah langkah bijak kerana ia akan menjadi cara baharu untuk komuniti berhubung dengan pemimpin.

"Inovasi seperti ini bagus terutamanya untuk golongan generasi baharu seperti kami yang lebih suka menggunakan telefon pintar untuk mendapatkan maklumat.

"Wujudnya aplikasi ini, mungkin juga dapat membendung penyebaran maklumat yang tidak benar terutamanya mengenai kerajaan kerana kita dapat maklumat terus daripada Perdana Menteri," katanya ketika ditemui di Taman Klang Jaya, di sini, hari ini.

Pengerusi Badan Bukan Kerajaan (NGO) 99 Kesan, Muhd Ali Zakariah berkata, aplikasi Hebatkan Negaraku akan memudahkan rakyat berhubung dengan pemimpin.

"Kita memerlukan teknologi seperti ini memandangkan ia mudah dan cepat, malah kita juga faham pemimpin mungkin tidak sempat untuk turun padang berjumpa semua pengundi.

"Rakyat juga mudah mendapat maklumat mengenai aspirasi negara serta manifesto untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei ini," katanya.

Aplikasi yang menggunakan ciri teknologi ‘augmented reality’ (AR) membolehkan calon Parlimen BN wujud dalam bentuk tiga dimensi dalam telefon pintar pengguna dan 'berbicara' dengan pengundi, manakala teknologi hibrid akan menampakkan calon BN itu seolah-olah berada di depan mata.

Ia juga membantu merevolusikan kaedah kempen pilihan raya di Malaysia yang selama ini kekal dengan cara konvensional.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 6:13 PM