CALON Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Irwan Shafrizan Ismail dan Fairuz Mohd Shahar


TUN Dr Mahathir Mohamad mendakwa beliau sedia didakwa mengikut Akta Antiberita Tidak Benar 2018 berhubung dakwaannya bahawa pesawat peribadinya disabotaj.

Bekas Perdana Menteri berusia 93 tahun itu berkata, beliau tidak kisah jika tindakan itu diambil terhadapnya.

“Najib (Datuk Seri Najib Razak) bila jadi Perdana Menteri, saya pun dia nak tangkap, kononnya saya buat berita palsu, buat tuduhan kapal terbang saya tidak boleh terbang sebab rosak.

“Rosak pada hari kritikal ketika saya hendak ke Langkawi, nak halang saya daripada daftar sebagai calon.

“Saya nak didakwa ikut undang-undang baharu, tidak apalah, dakwalah,” katanya berucap di pentas ceramah pakatan pembangkang di sini, malam tadi.

Pada 27 April lalu, Dr Mahathir mendakwa pesawat peribadi yang sepatutnya dinaiki beliau disabotaj dengan tayar hadapannya dikesan mengalami kerosakan.

Beliau kemudian menggunakan pesawat lain selepas meminta bantuan rakan.

Dalam ceramahnya di Langkawi kemudian, Dr Mahathir mendakwa kerosakan itu adalah sabotaj dalam usaha menghalangnya daripada menjadi calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di Parlimen Langkawi.

Pengerusi Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Seri Azharuddin A Rahman menerusi kenyataan, menyatakan tiada sebarang unsur sabotaj dikesan terhadap pesawat Bombardier Challenger CL60, yang sepatutnya dinaiki Dr Mahathir itu sebaliknya berpunca masalah teknikal kecil iaitu kebocoran tayar sebelah kiri.

Sementara itu, di Kuala Lumpur, lapan kertas siasatan dibuka sejak Sabtu lalu, dengan satu daripadanya membabitkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 berhubung dakwaan Dr Mahathir bahawa pesawat membawa beliau ke Pulau Langkawi disabotaj pihak tertentu.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mei 2018 @ 2:36 AM