Murni Wan Omar
news@nstp.com.my


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, diberitahu bahawa ia tidak mempunyai bidang kuasa mendengar pertikaian berhubung keputusan Pegawai Pengurus Pilihan Raya menolak penamaan calon Naib Presiden PKR, Tian Chua bagi bertanding di kerusi Parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Peguam Kanan Persekutuan Datuk Amarjeet Singh berhujah demikian ketika mengemukakan permohonan untuk membatalkan saman pemula oleh Tian Chua terhadap Pegawai Pengurusan Pilihan Raya, Anwar Mohd Zain, 56, dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Tindakan Hakim Mahkamah Tinggi mendengar dan memutuskan permohonan ini adalah bertentangan dengan Artikel 118 Perlembagaan Persekutuan yang mengetepikan Mahkamah Tinggi dalam memutuskan hal berkaitan pilihan raya.

“Undang-undang berkaitan pilihan raya jelas menunjukkan satu-satunya cara mempertikaikan mengenai penolakan kertas penamaan calon adalah melalui petisyen pilihan raya,” katanya.

Amarjeet berkata, permohonan Tian Chua adalah remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Hakim Datuk Nordin Hassan menetapkan hari ini untuk keputusan.

Sementara itu, Datuk Gurdial Singh Nijar yang mewakili Tian Chua dalam hujahnya mendakwa mereka menuntut perisytiharan berhubung status sebagai calon dan hak untuk bertanding.

Menurutnya, isu petisyen pilihan raya dibangkitkan oleh SPR adalah tidak relevan dan disebabkan itu mereka memulakan tindakan dengan mengemukakan saman pemula.


TIAN Chua hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memfailkan saman pemula terhadap SPR.

Isnin lalu, Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, 55, memfailkan saman pemula dengan menamakan SPR dan Anwar sebagai responden pertama dan kedua.

Dia memohon deklarasi bahawa beliau layak dan berhak bertanding sebagai calon kerusi Parlimen Batu pada PRU14.

Berdasarkan writ saman, bekas ahli Parlimen Batu itu memohon deklarasi bahawa beliau layak sebagai calon kerusi Parlimen di PRU-14 mengikut Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan dan di sisi undang-undang.

Tian Chua juga memohon deklarasi beliau berhak bertanding dan diterima sebagai calon oleh responden.

Beliau mendakwa, berdasarkan undang-undang yang termaktub, hukuman denda RM2,000 tidak akan menjejaskan hak atau menghilangkan kelayakannya sebagai Ahli Parlimen.

Menurutnya, pada PRU13, dokumen penamaan calonnya diterima dan dibenarkan bertanding walaupun ketika itu beliau ada hukuman denda RM2,000.

Sejak PRU13 sehingga 7 April lalu, Tian Chua bertugas sebagai ahli parlimen, Speaker Dewan Rakyat dan tiada pihak membangkitkan isu, menafikan atau mencabar statusnya itu.

Tian Chua gagal untuk mempertahankan kerusi Parlimen Batu P115 apabila SPR mendapati beliau hilang kelayakan bertanding kerana dihukum denda RM2,000 atas kesalahan menghina polis.

Berdasarkan afidavit sokongan, Tian Chua berkata pada 28 April lalu, beliau bersama pencadang Badaruddin Ismail dan penyokong Jacob Isaiah hadir di Sekolah Menengah Kebangsaan Sentul Utama pada jam 9 pagi untuk menyerahkan borang penamaan calon bagi Parlimen Batu.

Pada jam 10.30 pagi, responden pertama memberitahu penamaan beliau ditolak atas alasan sudah dihukum denda RM2,000 dalam satu kes di Mahkamah Shah Alam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mei 2018 @ 6:55 AM