TUN Daim.
Farah Marshita Abdul Patah dan Julia Fiona

Kuala Lumpur: Tindakan Tun Daim Zainuddin yang membuat pusingan U terhadap kenyataannya berhubung isu Cukai, Barangan dan Perkhidmatan GST membuktikan bekas Menteri Kewangan itu bersekongkol dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Eric See-To Choong berkata, sebagai seorang yang berpengalaman dan mengetahui selok-belok kewangan dan bank, Tun Daim sebenarnya mengetahui kebaikan pelaksanaan GST.

Sebaliknya, beliau berkata, tindakan Tun Daim menghentam GST adalah bercanggah dengan logik dan prinsipnya hanya kerana beliau kini berada di pihak Dr Mahathir.

“Anehnya apabila GST dilaksanakan tiga tahun lalu, beliau antara salah seorang yang menyokong dan memberitahu mahu melaksanakan GST ketika menjadi Menteri Kewangan.

“Berpolitik lidah bercabang ini tanpa menghiraukan ekonomi negara adalah tidak sihat,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, GST boleh mengurangkan cukai pendapatan dan membantu ekonomi negara.

“GST juga memainkan peranan dalam mengurangkan pengeluaran aliran keluar dana modal negara secara haram melalui salah laku perdagangan.

Pada 1 Mei lalu, Tun Daim berceramah untuk PKR di Parlimen Pendang menyindir bahawa akronim GST bermaksud ‘government suka tipu’

Bagaimanapun, dalam video berdurasi 1 minit yang dimuat naik ke laman YouTube pada Januari 2015, beliau sendiri mengakui mahu memperkenalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ketika memegang jawatan Menteri Kewangan pada 1984.

Dalam video itu, beliau memberitahu mahu memperkenalkan GST kerana pendapatan negara yang diperoleh daripada Petronas hanya 40 peratus dan jumlah itu terlalu kecil.

“Esok kalau ada masalah, mana nak cari duit untuk berbelanja?

“Ini cukai penggunaan dan cukai saksama... kalau tak mahu banyak cukai, jangan berbelanjalah,” katanya.

Daim yang memegang jawatan Menteri Kewangan dari 1984 hingga 1991, berkata, GST memberikan banyak pelepasan cukai.

Tambahnya lagi, beliau dari dulu lagi sejak tahun 1984 dan 1985 mahu melaksanakan GST.

“Bagaimanapun waktu itu kerajaan berkata, kita masih belum bersedia... selepas itu Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mahu memperkenalkan GST.

“Tetapi, sekarang dah jadi pembangkang, dia tidak bersetujulah... dulu dalam kerajaan, dia pun nak buat juga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mei 2018 @ 10:33 AM
Skip this ad x