Nor Azura Abdul Jalil


PENGERUSI Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) Datuk R Sri Sanjeevan dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela oleh Mahkamah Majistret di sini, daripada pertuduhan memeras ugut seorang lelaki di sebuah restoran di Kampung Baru, di Kuala Lumpur, empat tahun lalu.

Majistret Maizatul Munirah Abdul Rahman memutuskan demikian terhadap Sanjeevan, 34, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan pemerasan untuk mendatangkan ketakutan terhadap Mohamad Azhan Hamza, 34, di sebuah restoran di Jalan Raja Uda, Kampung Baru, Kuala Lumpur, pada jam 9 malam, 22 Mei 2014.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun, denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Hanim Abd Halim, manakala Sanjeevan diwakili peguam S Preakas.

Sepanjang perbicaraan kes itu, pihak pendakwaan memanggil tujuh saksi memberi keterangan.

Ini adalah kali keempat Sanjeevan dilepas dan dibebaskan daripada beberapa pertuduhan antaranya termasuk tuduhan menjalankan ugutan jenayah dan pemerasan terhadap pengendali judi ekor haram di Mahkamah Majistret Seremban, Isnin lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mei 2018 @ 12:43 PM
DATUK Seri Sanjeevan dibebas dan dilepaskan daripada pertuduhan memeras ugut seorang lelaki. FOTO NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI