Hadzlihady Hassan


PASUKAN Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman merampas syabu bernilai RM5.6 juta dan menahan enam ahli sindiket dalam empat serbuan sekitar Pulau Pinang dan Kedah, Rabu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, semua dadah dirampas itu seberat 92.6 kilogram dan dipercayai mahu diedar ke Sumatera, Indonesia.

Beliau berkata, dalam serbuan yang turut dilakukan bersama JSJN Pulau Pinang itu, seramai enam ahli sindiket terdiri daripada empat warga tempatan dan dua warga Indonesia berusia 25 hingga 51 tahun ditahan.

“Dalam serbuan pertama di Teluk Bahang, kita merampas semua syabu terbabit yang disimpan dalam sebuah bot dan menahan seorang lelaki.

“Susulan daripada itu, kita menahan lima lagi ahli sindiket terbabit dalam serbuan di Bayan Lepas dan Langkawi, Kedah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di Georgetown, hari ini.


MOHMAD Salleh (empat dari kanan) menunjukkan rampasan dadah jenis syabu bernilai RM5.6 juta dan jugak menyita wang tunai bernilai RM2.7 juta semasa sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Negeri Pulau Pinang. -Foto MUHAMMAD MIKAIL ONG

Mohmad berkata, pihaknya turut menyita wang tunai RM2.7 juta, lapan kenderaan, barang kemas serta jam tangan.

Beliau berkata, semua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kita percaya dadah ini dibawa masuk ke negeri ini melalui jalan darat dan mereka kemudian menggunakan laluan laut untuk diseludup ke Indonesia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mei 2018 @ 3:42 PM