KAWASAN penggondolan Bukit Gambir yang lebih dikenali sebagai Bukit Botak. -Foto DANIAL SAAD
M Hifzuddin Ikhsan
hifzuddin@bh.com.my


KEGAGALAN kerajaan negeri menyelesaikan isu penggondolan kawasan bukit berdekatan Bukit Gambir di Georgetown membuktikan pentadbiran mereka tidak boleh diberi mandat menerajui Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Teng Chang Yeow, berkata isu ‘bukit botak’ sudah berlarutan hampir lima tahun, namun sehingga kini tiada tanda usaha pemulihan dilakukan.

Beliau berkata, kerajaan negeri di bawah Ketua Menteri, Lim Guan Eng sebelum ini berjanji mengarahkan pemilik tanah menanam semula pokok di kawasan terbabit bagi mengelak masalah banjir berlaku.

“Tetapi kita boleh lihat sehingga hari ini, tiada kerja penanaman pokok atau sebarang usaha memulihkan kawasan bukit dilakukan sama ada pemaju atau pihak berkuasa.

“Kegiatan penggondolan bukit ini dilakukan beberapa bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan sehingga PRU-14 masalah ini belum berakhir,” katanya selepas meninjau kawasan berkenaan hari ini.

Tinjauan NSTP mendapati kawasan bukit yang diterangkan pemaju sehingga kini belum ditanam semula, namun usaha kumpulan media naik ke kawasan puncak dihalang pengawal keselamatan bertugas.

Semalam, Chang Yeow mencabar Guan Eng atau mana-mana wakil pembangkang meninjau kawasan ‘bukit botak’ bagi memastikan arahan pemulihan kawasan itu dilaksanakan pemilik tanah atau tidak.

Beliau turut mempertikaikan tindakan kerajaan negeri menggunakan peta ‘Google Maps’ apabila mendakwa kegiatan penerokaan lereng bukit di Pulau Pinang sudah berlaku sejak 1984, sedangkan aplikasi itu hanya dilancarkan pada 2005.

Sementara itu, calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Uban, Hng Chee Wey berkata, kegagalan menyelesaikan masalah di kawasan bukit berkenaan akan menyebabkan penduduk di kawasan bawah bukit berhadapan masalah banjir kilat.

“Kita sudah menyaksikan bagaimana wujudnya ‘air terjun’ di kawasan ini ketika banjir besar tahun lalu, tetapi malangnya sehingga kini tiada jalan penyelesaian diambil.

“Saya menjemput pula calon PKR DUN Batu Uban, A Kumaresan yang pernah menjadi Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) agar melawat ‘bukit botak’ dan jelaskan kepada kita apa sebenarnya terjadi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mei 2018 @ 6:34 PM