NOOR Azam hadir membuang undi awal pada PRU-14 di Ibu Pejabat Kotinjen, Seremban. -Foto ADZLAN SIDEK
Nur Aqidah Azizi

.

POLIS Negeri Sembilan akan memanggil semua pihak berkaitan termasuk Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, untuk membantu siasatan mengenai tuduhan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis bertanggungjawab di sebalik kegagalan calon PKR bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Dr Streram Sinnasamy, mengemukakan borang penamaan calon pada 28 April lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Anti Berita Tidak Benar 2018.

“Kami akan menghubungi Rafizi dan pihak lain yang terbabit dalam insiden terbabit secepat mungkin,” katanya.

Sebelum ini, penyandang DUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan secara rasmi menang tanpa bertanding apabila Dr S Streram, gagal menghantar borang penamaan calon di pusat penamaan calon.

Calon PKR itu tidak dibenarkan masuk kerana tidak mempunyai pas calon, manakala pencadang serta penyokongnya turut tidak dibenarkan masuk ke dewan itu kerana tidak mempunyai pas SPR.

Pada masa sama, Noor Azam berkata, polis akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengesan pemilik akaun Facebook yang membuat ugutan bunuh terhadap pembantu petugas SPR, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian di pusat penamaan di Dewan Sri Rembau, Rembau itu.

“Kami akan mengesan pemiliknya dengan bantuan SKMM. Kami akan memaklumkan perkembangan terkini dalam masa terdekat,” katanya.

Mangsa yang berusia 36 tahun membuat laporan polis di Balai Polis Rembau pada 2 Mei lalu selepas menerima paparan skrin komen di Facebook yang mengandungi foto dan ancaman bunuh serta mencederakan selain perkataan jelik.

Menjelang hari mengundi pada Rabu ini, Noor Azam menggesa semua pihak agar lebih bertanggungjawab dan sensitif terhadap pihak lain bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini.

“€œJadilah seorang yang profesional dan bertindak matang. Jika anda melihat sesuatu tidak betul, laporkan kepada polis. Jangan ambil tindakan sendiri,” katanya.

Terdahulu, Noor Azam menyertai 1,168 anggota polis di Seremban untuk menunaikan undi awal di Unit Simpanan Persekutuan (FRU) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di Seremban, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mei 2018 @ 1:53 PM