AANGGOTA Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2 RRD) menunjukkan 310 kilogram daun ketum dan motosikal yang dirampas di Pos Sahara, Durian Burung. FOTO Ihsan ATM
Noorazura Abdul Rahman


TIGA lelaki yang sedang mengangkut daun ketum untuk diseludup ke negara jiran bertempiaran lari ke dalam semak meninggalkan motosikal apabila terserempak anggota tentera yang melakukan rondaan, semalam.

Panglima Enam Briged Brigadier Jeneral Abdul Aziz Ismail berkata, dalam kejadian 12.35 tengah hari itu, sebanyak 310 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM28,000 dirampas oleh pasukan Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2 RRD) di Pos Sahara, Durian Burung, Padang Terap.

"Semasa rondaan yang diketuai Koperal Zulkifli Mohammad, pasukan itu bertembung dengan lima motosikal ditunggang lima lelaki dipercayai warga tempatan.

“Bagaimanapun, akibat terkejut dengan kehadiran anggota tentera mereka bertindak memecut kenderaan masing-masing, namun tiga daripada mereka hilang kawalan sehingga terjatuh.

"Tiga lelaki terbabit terus lari ke dalam semak meninggalkan motosikal dan pemeriksaan menemui empat bungkusan kain pelikat dan tiga guni putih mengandungi daun ketum yang diikat sebanyak 800 ikat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abdul Aziz berkata, pihaknya percaya daun ketum itu mahu dihantar ke pagar sempadan sebelum ada pihak lain yang mengambilnya.

“Permintaan daun ketum yang tinggi di negara jiran selain harganya yang tinggi menyebabkan kes penyeludupan daun ketum semakin menjadi-jadi.

“Kesemua daun ketum serta tiga motosikal yang dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Padang Terap untuk siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mei 2018 @ 6:47 PM