KEADAAN bas selepas kemalangan di Kilometer 40 Jalan Lubok Antu-Sri Aman. Gambar kecil menunjukkan keadaan motosikal mangsa. Foto NSTP/IHSAN PDRM
Ekhwan Haque Fazlul Haque


DUA sahabat maut selepas motosikal Modenas dinaiki mereka bertembung dengan bas di Kilometer 40 Jalan Lubok Antu-Sri Aman, Lubok Antu, malam tadi.

Kemalangan 8.30 malam itu menyebabkan Celvin Inggol Ogos, 20, dan Domanick Ubong, 16, disahkan maut di lokasi akibat parah di kepala serta badan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, siasatan awal mendapati penunggang motosikal terbabit, Celvin, cuba untuk memotong dua rakan mereka yang menaiki dua motosikal berasingan.

Bagaimanapun, katanya, Celvin hilang kawalan ketika tiba di selekoh sebelum memasuki laluan bertentangan.

"Dalam masa sama, datang sebuah bas dari arah bertentangan sebelum merempuh motosikal mangsa.

"Kedua-dua mangsa kemudian dirempuh dua motosikal yang ditunggangi rakan mangsa dan sebuah kereta dipandu lelaki dari arah sama yang tidak sempat mengelak," katanya hari ini.

Alexson berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sri Aman untuk bedah siasat, manakala penunggang yang cedera menerima rawatan di hospital sama.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis sudah mengambil keterangan daripada pemandu dan penunggang yang terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mei 2018 @ 9:53 AM