PENGUNDI tertua di kawasan Parlimen Klang, Surip Wasimin, 92 menunjukkan gambar Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) yang dianugerahkan oleh Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada tahun 1980 ketika ditemui di rumahnya di Telok Gong, Klang. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
PENGUNDI tertua di kawasan Parlimen Klang, Surip Wasimin, 92 menunjukkan gambar Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) yang dianugerahkan oleh Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada tahun 1980 ketika ditemui di rumahnya di Telok Gong, Klang. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
Ruwaida Md Zain


USIA tidak menghalang warga emas yang hampir sebaya Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menunaikan tanggungjawab keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini.

Surip Wasimin, 92, yang berasal dari Sijangkang dan kini sudah menetap kira-kira 45 tahun di Kampung Baru Telok Gong, Pelabuhan Klang, tidak pernah melepaskan peluang berbuat demikian setiap kali pilihan raya.

"Saya mesti keluar mengundi 9 Mei nanti seperti sebelum ini," katanya.

Bagaimanapun kali ini, beliau tidak berupaya memandu sendiri ke tempat mengundi di Sekolah Rendah Agama Integrasi Al-Mumtaz, Telok Gong seperti Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu disebabkan masalah kesihatan.

Beliau seorang yang aktif dalam politik sejak di usia muda sehinggalah keadaan kesihatannya merosot beberapa tahun kebelakangan ini menyebabkan beliau tidak mampu bergerak sendiri untuk keluar rumah.

Surip juga bertuah kerana dikelilingi 11 anak dan 200 cucu yang penyayang dan memberi perhatian sepenuhnya kepada beliau selain 30 cicit.

Enam daripada anak beliau membina rumah di sekeliling rumahnya di kampung itu.

Beliau yang datang meneroka kawasan itu pada 1971, membesarkan anak-anak dengan berkebun dan menjual hasil tanaman seperti ubi dan kelapa.

Seorang daripada anaknya, Sharul Surip, 42, berkata, bapanya sangat aktif dengan politik.

"Ayah memang aktif sejak muda lagi tetapi sejak dua tiga tahun lalu pergerakannya terbatas kerana sakit.

"Malah, pada PRU-13 lalu, ayah memandu sendiri ke tempat mengundi tetapi kali ini mungkin saya bawa ayah keluar mengundi.

"Selain itu, ada juga petugas khas yang datang ambil dan hantar pulang warga emas di sini untuk mengundi," katanya.

Safiah Surip, 55, pula berkata, selain aktif berpolitik, ayahnya yang rajin bekerja sejak dahulu itu pernah mendapat beberapa penghargaan termasuk daripada Sultan Selangor sebelum ini berikutan pernah bertugas sebagai Pengawal Kampung ketika darurat.

"Kerajaan Malaysia juga memberikan penghargaan kepada ayah kerana mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan keamanan negara semasa darurat 1948 sehingga 1962.

"Selain itu ayah membantu menjaga keamanan di kampung asalnya di Sijangkang sehingga pernah terima penghargaan dari Sultan Selangor ketika itu, pada 20 November 1957 sebagai mengenang jasa perkhidmatan dan taat setia sebagai Pengawal Kampung.

"Pada 8 Mac 1980 pula, ayah dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) oleh Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 9:43 AM