Ipoh: Sebut saja PORT Fest, Pekan Kartun dan Garden Festive, pasti nama Koloni Karyawan Aman Jaya (PORT) meniti di bibir banyak pihak terutama golongan muda.

Terletak di Jalan Sultan Azlan Shah, PORT mempunyai komitmennya untuk mempromosikan seni dan budaya dalam kalangan anak Perak daripada pelbagai aspek.

Inisiatif Kerajaan Perak ini sering menjadi tumpuan anak muda sejak lapan tahun lalu, malah PORT berjaya menganjurkan pelbagai aktiviti dan menarik ribuan pengunjung dalam satu-satu program.

Penubuhan PORT juga antara langkah kerajaan negeri membantu anak muda yang berbakat menggilap dan mempamerkan karya mereka supaya tidak terkubur begitu saja.

Pusat itu membantu penggiat anak seni seluruh Perak mendapatkan pendedahan dan mendapat peluang untuk diketengahkan dalam bidang masing-masing.

Ia turut menarik minat orang ramai khususnya golongan muda dalam pelbagai bidang seni untuk bernaung atau bergerak di bawahnya.

Malah, kejayaan demi kejayaan dibuktikan badan itu apabila PORT kini dikenali di peringkat antarabangsa melalui jemputan dan pembabitan anak seni yang bergerak melaluinya.


PORT menganjurkan pelbagai program dan bengkel yang menarik golongan anak muda.

Bagi vokalis kumpulan Rock Seven, Zairul Asyraf Zafruddin, 24, penubuhan PORT bukan saja bertepatan, malah memberi harapan baru kepada pemuzik sepertinya.

Menurutnya, badan itu menampilkan kelainan kerana bukan saja mencari bakat baru malah turut ‘membuka jalan’ orang sepertinya mengharungi industri diceburi.

“Kami pemuzik yang baru merangkak kata orang, tak tahu apa-apa, PORT pilih kami membuat album bersama beberapa kumpulan muzik untuk Album PORT Listen II dan album pertama PORT Listen sebelum ini ditampilkan kumpulan muzik yang lain.

“Pembikinan album ini juga membuatkan kami semakin dikenali, malah turut mendapat undangan membuat persembahan di Perak dan negeri lain. Bagi saya PORT berjaya mengetengahkan bakat seni anak negeri ini,” katanya.


ANTARA aktiviti yang telah dijalankan oleh PORT.

Bagi pelukis karikatur, Muhammad Ridzuan Mohd Zuki, 25, PORT bertanggungjawab mengetengahkan seni dan bakat hingga menjadikan beliau bekerja sepenuh masa dengan melukis.

Menurutnya, perjumpaan dengan Pengurus Besar PORT, Zamari Muhyi merubah hidupnya malah menjadikan seni lukisan sebagai mata pencarian.

“Saya tanya apa yang PORT boleh bantu untuk gilap bakat saya kerana sebelum ini saya pelukis mural, namun atas nasihat Zamari, beliau mengesyorkan agar memilih lukisan karikatur.

“PORT banyak anjurkan program, jadi ramai turut serta khususnya anak muda, di situ saya gunakan peluang menjual hasil lukisan karikatur.

“Alhamdulillah penerimaan baik dan akhirnya kini saya melukis karikatur sepenuh masa, dulu ingat nak buat sambilan saja,” katanya.


ANTARA aktiviti yang telah dijalankan oleh PORT.

Terkenal di peringkat antarabangsa

PORT semakin dikenali bukan saja di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa apabila Arbaayah Mohd Zain atau Abby Zain, anak kelahiran Batu Gajah terpilih antara 50 karya tempatan ke Pameran Buku Antarabangsa Frankfurt, Jerman, beberapa tahun lalu.

Kemudian PORT terus maju setapak lagi apabila terpilih menghantar wakil ke Popcon Asia 2015 atau Popular Culture Festival di Jakarta, Indonesia pada 2015 dan memenangi tempat pertama dalam kategori Doodle Art serta tempat ketiga Cosplay Photography.

Kejayaan di Jakarta ditempa Abu Huzaifah Saharuddin, 30, Mior Abdul Muneer Mior Muhammad, 30, dalam acara Doodle Arts dan Mior Azhar Mior Said, 35, dalam acara Cosplay Photography, manakala Adi Imran Mohamed Nazri atau Adi Nazri, 34, berjaya menewaskan peserta dari tiga negara iaitu Filipina, Singapura dan Indonesia untuk kategori Comic Jump Street.

Rentetan itu, Nur Sirajuddin Shariffudin, yang mempunyai bakat grafiti dihantar ke Pertandingan Write This yang diadakan di Skate Park Brunei Darussalam dan mendapat tempat ketiga.


PEKAN Kartun merupakan cetusan PORT dalam mempromosi industri kreatif melibatkan kartun, komik, animasi dan cosplay kepada masyarakat serta sudah memasuki edisi keempat.

Tidak terhenti di situ, PORT melakar sejarah apabila Kumpulan Dendang Anak yang bertapak di Bota, Perak dijemput Kementerian Pelancongan Mesir bagi menyertai International Festival For Drums and Traditional Arts untuk mempamerkan kepelbagaian kesenian tradisional Perak khususnya dan Malaysia amnya dan berjaya menjadi johan persembahan terbaik.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri yang juga Ahli Lembaga Pengarah PORT, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, kejayaan demi kejayaan yang dicipta PORT sekali gus membuktikan keberkesanan pusat berkenaan yang selama ini mungkin dianggap tidak membawa banyak kesan.

“PORT bukan sekadar muzik semata-mata tetapi membabitkan pelbagai genre seni. Juga ada kumpulan pelukis, kartunis, peminat barangan klasik, penggiat budaya, kraftangan dan tarian dan pelbagai lagi yang bernaung dengan PORT,” katanya ketika ditemui di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 11:02 AM