KAPAL tangki yang digunakan untuk seludup 131 warga asing.
Mohd Azam Shah Yaacob

Kuala Lumpur: Ubah suai kapal tangki untuk menyeludup pendatang haram secara besar-besaran dari Sri Lanka ke Australia dan New Zealand melalui Selat Melaka.

Cubaan menyeludup 131 warga asing itu bagaimanapun berjaya dikesan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta Jabatan Peguam Negara yang menahan kapal itu di perairan Tanjung Gemuk, Kota Tinggi, Johor, jam 2.02 pagi, Selasa lalu.

Sindiket penyeludupan antarabangsa itu dikesan membawa lima kanak-kanak perempuan, empat kanak-kanak lelaki bersama 24 wanita serta 98 lelaki warga Sri Lanka ke Australia dan New Zealand.

Difahamkan kapal tangki itu berjaya dipintas PDRM melalui operasi khas Op Kenal Alpha 2/2018.

Sindiket penyeludupan itu dikesan didalangi beberapa rakyat tempatan, warga Indonesia dan Sri Lanka.

Ketika ditahan, kapal membawa 131 warga asing itu belayar keluar dari perairan Tanjung Gemuk menuju perairan antarabangsa.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan dikeluarkan berkata, pihaknya menahan empat rakyat tempatan bersama tiga lelaki warga Indonesia dipercayai ahli sindiket yang turut berada di atas kapal tangki dengan menggunakan nama ETRA.

Katanya, pihak berkuasa turut merampas sebuah bot kelas A milik rakyat negara ini yang digunakan untuk mengangkut semua migran terbabit dari darat ke kapal berkenaan.

“Ketika dipintas, kapal itu bergerak keluar dari perairan Tanjung Gemuk menuju ke perairan antarabangsa bagi membawa semua migran terbabit ke Australia dan New Zealand.

“Kami menemui 131 migran warga Sri Lanka bersembunyi di dalamnya selain menahan tiga lelaki Indonesia bersama empat rakyat tempatan yang dipercayai ahli sindiket penyeludupan berkenaan,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata, pihaknya kemudian berjaya menahan empat rakyat tempatan sekitar Johor Bahru, Johor selain seorang rakyat tempatan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang terbabit mengurus penyeludupan migran.

Menurutnya, seramai 16 individu ditahan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Mereka yang ditahan mengikut SOSMA dan ATIPSOM ini adalah sembilan rakyat tempatan, empat warga Sri Lanka dan tiga Indonesia yang dipercayai ahli sindiket penyeludupan manusia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 12:28 PM