JKM mencari waris bagi bayi dan kanak-kanak ini. FOTO Ihsan JKM
Suraya Roslan


JABATAN Kebajikan Masyarakat Daerah Klang dan Shah Alam memohon kerjasama orang ramai mencari waris tiga bayi dan tiga kanak-kanak berusia sebulan hingga 15 tahun yang ditinggalkan ibu dan menjadi mangsa penderaan bapa tiri.

Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Klang Noor Adelin Nordin berkata, bayi lelaki dinamakan Ali Rahman dihantar seorang lelaki ke Zon Merah Jabatan Kecemasan Dan Trauma Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang pada 9.57 malam, 14 Disember lalu, untuk mendapatkan rawatan demam panas.

“Bagaimanapun, lelaki berkenaan hanya datang bersendirian dan memaklumkan ibu kandung kepada Ali bernama Husna dengan tiada dokumen pengenalan diri yang lain.

“Berdasarkan keadaan fizikal bayi, dipercayai Ali baharu dilahirkan dalam tempoh 24 jam pada 13 Disember lalu sebelum lelaki berkenaan menghilangkan diri,” katanya.

Katanya, bagi kes kedua, bayi perempuan bernama Nur Zara Ellisya diserahkan ibu kandung bernama Linda kepada wanita lain dikenali Yusmiza pada 7 pagi, 15 Disember lalu di stesen minyak berhadapan HTAR.

“Yusmiza membawa bayi ini ke HTAR bagi menjalani pemeriksaan dan memaklumkan tidak berupaya untuk menjaganya.

“Bagi kes ketiga, bayi perempuan dikenali sebagai Siti Nur Aisyah dihantar bersama ibunya bernama Halifah oleh seorang lelaki, Ahmad Sanudin yang mendakwa bapa kandung, ke Hospital Shah Alam 7 Mac lalu,” katanya.

Noor Adelin berkata, Ahmad mengakui tidak mendaftarkan perkahwinannya di Pejabat Agama Islam dengan wanita Indonesia itu dan menyambut sendiri kelahiran Siti Nur Aisyah dalam tandas di rumah sewa mereka di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 7.30 pagi, 7 Mac lalu.

“Ahmad mendakwa tidak berupaya menjaga anaknya berikutan tiada kerja tetap, manakala ‘isterinya’ sudah melarikan diri ke Indonesia dan gagal dihubungi,” katanya.

Bagi kes lain, Pelindung Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Klang Nurzatulhain Mohd Othman berkata, dua beradik yang menjadi mangsa dera bapa tiri dan diabaikan ibu kandung diselamatkan melalui Talian Nur pada 27 Mei 2008.

“Dua beradik berkenaan adalah Muhammad Danish Haiqal Abdullah, 15, dan Muhammad Danish Haqim Abdullah, 14, kini ditempatkan di Rumah Budak Laki-laki Tun Abdul Aziz, Jalan Durian Daun, Melaka.

“Ibu kandung dikenali Nurmarhaini, bukan warganegara Malaysia, hilang dan gagal dihubungi,” katanya.

Sementara itu, kanak-kanak lelaki dikenali Oluwapelumi Oluwatimileyin Peter Bamijoko, 13, menjadi mangsa pengabaian ibu kandung.

Pelindung JKM Shah Alam Hanim Azrin Mahyudin berkata, kanak-kanak itu diserahkan seorang kenalan dan ibu bapanya tidak diketahui berada di mana.

“Sehingga kini tiada pihak yang tampil untuk menuntut kanak-kanak ini,” katanya.

Sehubungan dengan itu, orang ramai yang mengenali waris atau ibu bapa kandung tiga bayi dan tiga kanak-kanak itu boleh menghubungi pegawai pelindung di talian 03-55102015/2216/0415 atau 03-3341 3703.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 2:56 PM