SULU
HM Digital

Melaka: “Saya teruja untuk mengundi kali ini kerana ia adalah yang pertama dan mungkin juga yang terakhir buat saya,” kata seorang warga emas, A Sulu, 76, ketika ditanya perasaannya untuk mengundi, esok.

Dia yang menghuni rumah jagaan orang tua Rumah Sejahtera Bukit Baru di sini, tidak lekang mengukir senyuman apabila ditanya mengenai undi.

Wanita terbabit yang juga penyelia di rumah jagaan itu berkata, sepanjang hidupnya, dia tidak pernah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Tempat bekerja saya sering bertukar termasuk alamat, jadi saya tidak sempat menukar pusat mengundi, selain bekerja pada hari itu (mengundi).

“Pada usia 22 tahun, saya mendaftar sebagai pemilih namun tuntutan kerja yang sering bertukar lokasi dari Kuala Lumpur dan Port Dickson membuatkan saya tidak sempat mengundi.

“Sebab itu saya sangat teruja nak mengundi kali ini. Di sini, kita disediakan van untuk membawa 29 penghuni berusia 63 hingga 85 tahun ke pusat undi. Begitupun, saya sebenarnya tidak tahu cara nak mengundi,” katanya sambil ketawa.

Dia mengakui, tindakannya sebelum ini tidak menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih dianggap suatu yang sia-sia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mei 2018 @ 10:21 AM