CUACA esok secara umum diramalkan baik pada sebelah pagi manakala, kebanyakan kawasan diramalkan akan mengalami hujan serta ribut petir di sebelah petang.
Zanariah Abd Mutalib


CUACA pada hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), esok secara umum diramalkan baik pada sebelah pagi di hampir semua kawasan Parlimen seluruh negara.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Alui Bahari, berkata kebanyakan kawasan diramalkan akan mengalami hujan serta ribut petir di sebelah petang.

“MetMalaysia menyediakan maklumat Ramalan Cuaca Khas PRU-14 bagi setiap kawasan Parlimen di laman web kami sejak seminggu lalu.

“Maklumat ini sentiasa dikemas kini, jadi orang ramai boleh membuat rujukan untuk mendapatkan maklumat ramalan cuaca terkini,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Proses pengundian bagi PRU-14 akan berlangsung esok di 222 kawasan Parlimen di seluruh negara bermula dari 8 pagi hingga 5 petang.

Berdasarkan laman web MetMalaysia, cuaca diramal baik di sebelah pagi di Johor, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Terengganu, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Bagaimanapun, cuaca dijangka akan mendung dan mengalami ribut petir di sebelah petang di hampir semua kawasan.

Cuaca di kebanyakan kawasan di Pahang, Perak dan Sabah diramal baik di sebelah pagi kecuali Indera Mahkota, Kuantan, Paya Besar dan Pekan (Pahang), Larut, Bagan Serai, Taiping, Lumut dan Parit Buntar (Perak) serta Batu Sapi, Kinabatangan, Semporna, Kalabakan, Sandakan, Silam dan Tawau (Sabah) yang diramal mendung dan hujan, selain hujan dan ribut petir di hampir kebanyakan kawasan di negeri berkenaan di sebelah petang.

Selain itu, hampir kebanyakan kawasan di utara diramal hujan dan ribut petir di sebelah pagi iaitu di Pulau Pinang, hujan di Perlis kecuali Padang Besar dan hujan di tujuh kawasan di Kedah iaitu Langkawi, Kuala Kedah, Jerai, Merbok, Kulim-Bandar Baharu, Sungai Petani dan Padang Serai.

Semua kawasan di tiga negeri berkenaan diramalkan mengalami ribut petir di sebelah petang.

Bagi Sarawak, kebanyakan kawasan dijangka mendung di sebelah pagi kecuali Betong, Tanjong Manis, Kanowit, Lawas, Mukah, Miri dan Limbang yang cuacanya diramal baik, manakala kebanyakan kawasan akan mengalami ribut petir di sebelah petang.

Labuan pula dijangka hujan di sebelah pagi dan panas di sebelah petang.

Untuk maklumat terperinci berkaitan ramalan cuaca di setiap kawasan Parlimen esok, orang ramai boleh melawat laman web MetMalaysia di http://www.met.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mei 2018 @ 2:48 PM