ILYA Dayana (dua dari kiri) dan Nurul Farahani (dua dari kanan) bersama rakan pada Majlis Pentauliahan Kemahiran Malaysia.
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: “Anugerah pelajar cemerlang keseluruhan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) ini adalah hadiah paling istimewa untuk ibu, Hasimah Hasim, 60, yang banyak berkorban untuk saya,” ujar Ilya Dayana Kamarudin, 23.

Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, dia memilih bidang perkhidmatan penyediaan dan pembuatan makanan di Kolej Yayasan Pahang Advanced Skills selepas mendapat maklumat dalam Internet.

“Saya menasihatkan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya memilih Kolej Yayasan Pahang Advanced Skills untuk menyambung pengajian dalam bidang kemahiran.

“Kolej yang terletak di Kubang Buaya ini menyediakan pelbagai kursus di peringkat sijil dan diploma kemahiran Malaysia. Peluang pekerjaan terbuka luas untuk pelajar yang berjaya menamatkan pengajian,” katanya pada Majlis Pentauliahan Kemahiran Malaysia yang disempurnakan Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan, wakil rasmi Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Bukit Gambang di sini, semalam.

Seramai 695 graduan membabitkan sembilan kursus kemahiran di kampus Kuantan dan Karak, Bentong menerima sijil dan diploma masing-masing. Pada majlis itu, 20 pelajar program Pembangunan Tamadun Masyarakat Orang Asli (PETAMA) turut menerima sijil pendakwah.

Sementara itu, Nurul Farahani Husain, 25, berkata, kejayaan sebagai pelajar cemerlang keseluruhan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) menjadi pencetus untuk terus berjaya dalam bidang kemahiran membuat roti.

“Saya bercita-cita membuka perniagaan roti dan kuih tradisional suatu hari nanti, kemahiran yang ada memberi peluang bagi mendapatkan pelbagai kemudahan seperti pinjaman dan tapak kedai.

“Bagi mendapatkan pengalaman berniaga, saya kini bekerja di kedai roti di Kuala Terengganu. Apabila tiba masanya pasti saya menjadi usahawan muda,” katanya yang memiliki kelulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Sementara itu, Wan Abdul Wahid berkata, usaha menarik lebih ramai lepasan SPM untuk belajar di Kolej Yayasan Pahang Advanced Skills perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh menggunakan pelbagai cara.

“Kemahiran yang dimiliki golongan muda terbabit dapat membantu mereka mendapatkan pekerjaan setaraf dengan kemahiran. Saya difahamkan, ada juga membuka perniagaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mei 2018 @ 5:46 AM