ORANG ramai mula menunaikan tanggungjawab membuang undi sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Pusat Mengundi, Sekolah Kebangsaan Seri Penanti, Permatang Pauh. Foto NSTP/RAMDZAN MASIAM
Siti Rohana Idris


MENTERI Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, menyifatkan hari pengundian seperti Aidilfitri dan kemeriahan itu dirasakan sejak dua hari lalu.

Beliau hadir membuang undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Laut pada 8.25 pagi tadi.

Ahmad berkata, ramai perantau pulang untuk mengundi sejak dua hari lalu dan keadaan itu jelas kelihatan di beberapa lokasi sekitar negeri ini termasuk di kompleks beli-belah.


MENTERI Besar Kelantan yang juga calon PAS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan, Datuk Ahmad Yakob beratur sebelum mengundi di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Laut hari ini. Foto BERNAMA

Beliau yang juga calon PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan menganggarkan kira-kira 300,000 hingga 400,000 pengundi yang menetap di luar Kelantan pulang ke negeri itu untuk mengundi.

"Kita lihat ada satu kesedaran terhadap pengundi apabila balik kampung untuk memilih calon yang mereka inginkan.

"Berlaku kesesakan di mana saja dan suasana ini meriah seperti Aidilfitri," katanya kepada pemberita selepas proses membuang undi.

Ahmad juga menasihati supaya pengundi yang hadir ke pusat mengundi supaya mematuhi peraturan yang dibuat oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi melancarkan proses pilihan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mei 2018 @ 9:45 AM