Syaherah Mustafa


WANITA warga emas yang buta dan cacat kaki kiri dikendong anak lelakinya untuk mengundi di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Gual Periok, Rantau Panjang, hari ini.

Fatimah Muhammad, 72, dibantu anaknya, Arif Che Hamat, 40, untuk turut sama menjalankan tanggungjawab di Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), hari ini walaupun sudah uzur.

Dia yang dulunya turut aktif berkempen setiap kali pilihan raya kini hanya mampu terbaring di rumah selepas kakinya dipotong setahun lalu akibat komplikasi kencing manis.

Katanya, tidak cukup dengan itu, matanya sudah tidak dapat melihat sepenuhnya akibat penyakit sama, namun dia tetap menguatkan semangat untuk keluar mengundi.

“Pada awalnya saya berfikir untuk tidak mahu keluar mengundi, namun selepas dipujuk anak dan memikirkan tanggungjawab sebagai rakyat, saya gagahi jua.

“Alhamdulillah ramai yang membantu selain anak saya sendiri mengambil inisiatif mengendong saya selain menggunakan kerusi roda disediakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di pusat mengundi.

“Perasaan saya bercampur baur, walaupun tidak dapat melihat, namun saya dapat rasai kemeriahan suasana selain berpeluang berjumpa dengan penduduk kampung,” katanya yang ditemui selepas mengundi.

Fatimah berkata, dia berbangga kerana masih mampu menjalankan tanggungjawabnya sebagai rakyat walaupun dalam keadaan uzur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mei 2018 @ 11:44 AM
WARGA emas yang buta dan cacat kaki kiri, Fatimah Muhammad dikendong anak lelakinya, Arif Che Hamat untuk mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Periok, Rantau Panjang. Foto STR/SYAHERAH MUSTAFA