ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran sebuah rumah di Kampung Kembara Jaya, Kinabatangan. Foto NSTP/IHSAN BOMBA.
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran sebuah rumah di Kampung Kembara Jaya, Kinabatangan. Foto NSTP/IHSAN BOMBA.
Hazsyah Abdul Rahman


WANITA yang sedang berbaris untuk mengundi hanya mampu bersabar apabila dimaklumkan rumahnya di Kampung Kembara Jaya, dekat Batu 6, Kinabatangan, hangus akibat kebakaran.

Kamsiah Karim, 48, bagaimanapun sempat mengundi di sebuah pusat mengundi di Parlimen Libaran sebelum bergegas pulang ke rumahnya.

Kebakaran pada 12.50 tengah hari itu mengakibatkan keseluruhan rumah didiami sejak 10 tahun lalu hangus, kecuali bahagian tandas.

Kamsiah berkata, dia sedang berbaris di pusat mengundi sebelum mendapat panggilan telefon daripada jiran yang memaklumkan rumahnya terbakar.

“Demi tanggungjawab kepada negara, saya tidak keluar barisan sampailah akhirnya memangkah di kertas undi. Selepas selesai mengundi, barulah saya bergegas pulang ke Kinabatangan.

“Bagaimanapun, sebaik sampai di rumah, semuanya sudah hangus. Tinggal bahagian tandas saja tidak terbakar,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Kamsiah berkata, ketika kejadian tiada sesiapa di rumah terbabit kerana semua ahli keluarga tinggal di sebuah lagi rumah mereka di Kampung Sungai Kayu, Sandakan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nur Azlan Shah Jamalludin, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 12.54 tengah hari sebelum beliau bersama lima anggota bergegas ke lokasi menggunakan sebuah jentera.

“Sebaik tiba, didapati rumah jenis tidak kekal terbakar sebelum musnah sepenuhnya. Tiada mangsa cedera dalam kejadian ini.

“Operasi memadamkan api berakhir sepenuhnya pada 1.50 tengah hari dan punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mei 2018 @ 4:24 PM