ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran enjin kereta yang diletakkan di depan sebuah rumah di Jalan SS2/44, Petaling Jaya. -Foto Ihsan BOMBA
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran enjin kereta yang diletakkan di depan sebuah rumah di Jalan SS2/44, Petaling Jaya. -Foto Ihsan BOMBA
Nurul Hidayah Bahaudin


LELAKI warga emas yang baru selesai membuang undi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Puay Chai, Petaling Jaya, terkejut sebaik dimaklumkan kereta miliknya yang diletakkan di depan rumah di Jalan SS2/44, terbakar, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara Ramli Harun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.37 tengah hari sebelum tujuh pegawai dan anggota bersama satu jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba kami mendapati bahagian enjin kereta model Mercedes itu sedang terbakar.

“Anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang sedang mengawal lalu lintas di kawasan berkenaan cuba memadamkan kebakaran itu, namun gagal.

“Kami mengambil masa tiga minit untuk memadamkan sepenuhnya kebakaran itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ramli berkata, pemilik kereta berusia 61 tahun itu baru saja selesai membuang undi di pusat pengundian berkenaan.

Beliau berkata, mangsa dikatakan sedang menunggu isterinya, 50-an, yang sedang membuang undi sebelum dimaklumkan keretanya terbakar.

“Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mei 2018 @ 7:09 PM