LIM Guan Eng dijulang atas kemenangannya. FOTO Mikail Ong
M Hifzuddin Ikhsan


PAKATAN Harapan (PH) mengekalkan kerajaan negeri Pulau Pinang apabila menang lebih 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu, malam tadi.

Keputusan tidak rasmi menunjukkan PH mengukuhkan cengkamannya di negeri ini apabila merampas beberapa kerusi dikuasai Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, kemenangan itu adalah milik rakyat Pulau Pinang dan kerajaan negeri baharu yang bakal dibentuk komited berkhidmat dengan lebih baik.

“Kemenangan ini adalah untuk semua, kemenangan untuk rakyat Pulau Pinang. Secara tidak rasmi, kita sudah mendapat cukup kerusi bagi membentuk kerajaan negeri baharu.

“Bagaimanapun, saya meminta semua penyokong bertenang dan bersikap matang. Kita semua boleh balik ke rumah terlebih dahulu dan tunggu keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya pada sidang media di Georgetown, malam tadi.

Sementara itu, Pengerusi BN negeri, Teng Chang Yeow, pada sidang media berasingan berkata, pihaknya menerima keputusan rakyat Pulau Pinang secara terbuka.

“Kami menerima keputusan ini dengan hati terbuka dan kita akan tunggu keputusan penuh,” katanya.

Pada PRU-13, PH termasuk PAS menang 30 kerusi, manakala BN menang 10 kerusi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mei 2018 @ 11:49 PM