PRESIDEN Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berdoa sebelum keluar ke Istana Negeri Kota Kinabalu bagi mengadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin. Foto NSTP/KHAIRULL AZRY BIDIN.
Wartawan NSTP


ROMBONGAN Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebentar tadi tiba di pekarangan Istana Negeri, Kota Kinabalu, dipercayai bagi mengadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.

Mohd Shafie yang menaiki Toyota Land Cruiser berwarna hitam tiba pada 10.10 pagi, namun tidak dibenarkan masuk ke laluan menuju ke istana oleh polis yang mengawal laluan terbabit diketuai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Razarudin Husain @ Abd Rasid.

Kenderaan membawa Mohd Shafie bersama rombongannya kemudian berlegar-legar di sekitar laluan berkenaan, sebelum beredar.

Terdahulu, beliau keluar dari kediamannya di Bukit Padang di sini, pada 10.05 pagi dengan diiringi isteri dan beberapa pemimpin WARISAN, PKR dan DAP.

Ahli Parlimen Semporna dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang itu hanya berkata `it's good to be humble' (merendah diri lebih baik) kepada media yang cuba mendapatkan ulasan beliau.

Pagi ini, ada ura-ura mengatakan Mohd Shafie dijadual mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Ketika ditanya sama ada beliau pergi ke Istana Negeri, Mohd Shafie sambil tersenyum menjawab beliau mahu ‘terbang ke bulan’.

Pembentukan kerajaan baharu Sabah genting apabila parti komponen BN dan pakatan WARISAN bersama DAP dan PKR masing-masing terikat 29 kerusi.

Baki dua daripada 60 kerusi DUN lagi dimenangi Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) diketuai Datuk Dr Jeffrey Kitingan, namun setakat ini parti itu belum menyatakan pendirian untuk menyokong mana-mana pihak sekali gus membolehkan kerajaan negeri dibentuk.

Difahamkan, Mohd Shafie akan kembali ke istana selepas mendapat kebenaran daripada pihak istana dan keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mei 2018 @ 10:47 AM