Shahidan (tengah) yang memenangi kerusi bagi Parlimen Arau (P003) bersama calon-calon Barisan Nasional yang menang bagi kerusi Dewan Undangan Negeri dalam Parlimen Arau pada Pilihanraya Umum ke 14 di Dewan Harumanis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin. -Foto AZHAR RAMLI
Muhammad Mustakim Ramli


PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim akan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak, hari ini bagi membincangkan pelantikan jawatan Menteri Besar bagi negeri itu.

Shahidan berkata, keputusan siapa bakal menjadi Menteri Besar Perlis akan diputuskan oleh Najib dan dengan perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

“Saya akan berjumpa Pengerusi BN dan selepas itu baru kita tahu siapa akan menjadi Menteri Besar Perlis.

“Insya-Allah hari ini saya akan bertemu beliau untuk berbincang,” katanya ketika ditemui di Pusat Penjumlahan Undi di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau, hari ini.

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menyaksikan BN Perlis menguasai negeri ini dengan menang 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 15 kerusi DUN.

Baki lima lagi kerusi dimenangi PKR dan PAS iaitu tiga kerusi untuk PKR di DUN Kuala Perlis, Indera Kayangan dan Sena.

Dua lagi kerusi dimenangi PAS iaitu di DUN Sanglang dan Guar Sanji.

Keputusan itu mewujudkan spekulasi siapa bakal Menteri Besar Perlis yang baru selepas Parlimen Padang Besar dan lima DUN di bawahnya mencatatkan keputusan cemerlang iaitu menang semua kerusi dipertandingkan.

Kedudukan Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar menimbulkan persoalan susulan BN Bahagian Kangar yang diketuainya kehilangan kerusi Parlimen Kangar buat pertama kali dalam sejarah PRU.

Antara nama disebut bakal menjadi Menteri Besar baru adalah ADUN Santan, Azizan Sulaiman yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Besar.

Sementara itu majlis pelantikan dan angkat sumpah Menteri Besar Perlis di Istana Arau hanya akan diketahui selepas mendapat perkenan Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Berdasarkan sumber Istana Arau, Raja Perlis belum menerima permohonan mengadap daripada pihak yang memenangi PRU14 di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mei 2018 @ 3:32 PM