Junita Mat Rasid


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah supaya semua pihak menghormati suara rakyat yang diputuskan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), yang mahukan kerajaan baharu.

Sehubungan itu, baginda meminta supaya kerajaan baharu dibentuk dengan serta-merta, tanpa membuang masa.

“Kepada semua rakyat Johor, bangsa Johor iaitu pilihan raya sudah pun berlaku, saya minta semua menghormati suara rakyat yang mana rakyat hendak kerajaan baharu.

“Dengan ini saya meminta kerajaan dilantik serta-merta dan jangan membuang masa lagi. Saya harap Istana Negara hari ini melantik Perdana Menteri yang baharu kerana ini adalah kepentingan rakyat, bukan kepentingan saya atau individu.

“Saya harap perkara ini sampai ke seluruh rakyat Johor dan Malaysia yang mana saya cintai. Terima kasih,” titah baginda dalam Facebook rasminya, di Johor Bahru, hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah supaya bangsa Johor menerima keputusan suara rakyat untuk menubuhkan kerajaan baharu dan turut mengucapkan tahniah kepada semua parti yang menepati sasaran mereka.


SULTAN Ibrahim mahu semua pihak hormati suara rakyat. -Foto FB Sultan Ibrahim Iskandar

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mei 2018 @ 4:04 PM