LAPORAN portal berita Harian Metro mengenai ADUN BN datang ke kediaman Shafie, hari ini.


PRESIDEN Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilaporkan berada di Istana Negeri di Kota Kinabalu, bagi menghadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.

Difahamkan, kunjungan ke istana itu antara lain Mohd Shafie memaklumkan parti itu bersama rakannya PKR dan DAP sudah memiliki jumlah mencukupi untuk menubuhkan kerajaan negeri yang baharu di Sabah.

Difahamkan, sekurang-kurangnya lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Barisan Nasional (BN) turut bersama dalam pertemuan itu.

Mereka ialah dua ADUN UMNO iaitu Datuk Abdul Muis Picho (Sebatik) dan Datuk Hamisa Samat (Tanjong Batu), selain tiga dari UPKO, Datuk Abidin Madingkir (Panginatan), Datuk Bobbey Suan (Nabawan) and Ewon Benedick (Kadamaian).

Pergolakan politik di Sabah semakin genting walaupun Pengerusi BN Sabah, Tan Sri Musa Aman mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di Istana Negeri, malam tadi.

Tengah hari tadi, Abdul Muis dan Hamisa muncul di kediaman Mohd Shafie di Bukit Padang.

Kedua-dua ADUN itu tiba dari halaman belakang rumah Mohd Shafie sebelum mengadakan pertemuan tertutup dengan beberapa pemimpin kanan WARISAN.

Mereka tidak dilantik sebagai menteri dalam Kabinet Sabah yang diumumkan Musa selepas mengangkat sumpah, malam tadi.

Kedudukan politik di Sabah pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) genting selepas BN dan WARISAN masing-masing memiliki 29 kerusi DUN, manakala Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) memiliki dua, sebelum BN membentuk kerajaan dengan kerjasama STAR yang diketuai Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Berita berkaitan

'ADUN BN jumpa Shafie Apdal?'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 4:14 PM