SIDANG media Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di kediamannya, Bukit Padang. FOTO Khairull Azry Bidin


PRESIDEN Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal boleh dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah menerusi deklarasi sokongan daripada majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Bekas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Douglas Christo Primus berkata, menerusi deklarasi itu, Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin mempunyai kuasa untuk menyingkirkan Tan Sri Musa Aman sebagai Ketua Menteri.

“Kecuali beliau (Musa) meletak jawatan sebagai Ketua Menteri. Kalau tiada peletakan jawatan, barulah TYT (Juhar) boleh memecat (Musa) jika menerima deklarasi daripada majoriti ADUN yang menyokong Shafie sebagai Ketua Menteri,” katanya.

WARISAN kini memiliki 35 ADUN termasuk daripada PKR, DAP, Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) dan UMNO dalam usahanya untuk membentuk kerajaan negeri, berbanding Barisan Nasional (BN) bersama Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) kini mempunyai 25 ADUN.

Primus berkata, penanda aras senario itu sama seperti apa yang berlaku apabila Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir daripada BN mengambil alih jawatan Menteri Besar Perak daripada Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin (Pakatan Rakyat) pada 2009 lalu.

“Berdasarkan pandangan tradisional, Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu bersidang untuk membentangkan undi tidak percaya.

“Ini dijadikan asas dalam kes bekas Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Stephen Kalong Ningkan yang disingkirkan pada 1966.

"Namun, kedudukan ini berubah dalam kes di Perak (Zambry vs Nizar) di mana Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa pihak yang boleh memerintah ditentukan oleh sumber lain jika Menteri Besar hilang majoriti. Untuk ini, deklarasi sokongan adalah memadai,” katanya.

Semalam, Musa mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri selepas mendapat majoriti mudah 31 kerusi iaitu 29 DUN milik BN dan disertai dua ADUN STAR diketuai Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Ia disusuli angkat sumpah anggota Kabinet negeri termasuk tiga Timbalan Ketua Menteri iaitu Jeffrey, Datuk Seri Masidi Manjun dan Datuk Hajiji Noor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 9:47 PM