SYABU, ketamin dan ekstasi bernilai RM43,180 yang disorok suspek di dalam peti besi di bilik sebuah hotel di bandaraya, yang dirampas Polis dalam satu serbuan operasi khas di Jalan Abell Kuching. -Foto IHSAN POLIS
Ekhwan Haque Fazlul Haque


RAHSIA gaya hidup mewah pasangan penganggur sejak awal tahun ini, terbongkar selepas mereka ditahan polis kerana disyaki mengedar dadah, di Kuching, semalam.

Suspek berusia 22 dan 33 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, dalam operasi khas di sebuah hotel di Jalan Abell, jam 11 pagi.

Ketua JSJN Sarawak, Superintendan Sahar Abdul Latif berkata, serbuan selepas pihaknya menjalankan risikan sejak beberapa hari lalu.

“Pemeriksaan lanjut menemui syabu, ketamin dan ekstasi bernilai RM43,180 yang disorok suspek di dalam peti besi di bilik hotel berkenaan.

“Polis juga merampas Toyota Vios dianggarkan bernilai RM70,000 milik suspek,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, pasangan kekasih itu menjual dadah berkenaan kepada penagih sekitar bandar ini.

“Bagaimanapun, aktiviti itu dijalankan dengan berhati-hati kerana bimbang kegiatan dihidu polis,” katanya.

Sahar berkata, polis juga percaya suspek membungkus syabu dan ketamin di dalam bilik hotel berkenaan berdasarkan penemuan mesin penimbang.

Katanya, syabu dan ketamin berkenaan akan dibungkus ke dalam tiub kecil sebelum dijual kepada penagih.

“Bagaimanapun, kita masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini.

"Suspek yang positif dadah itu kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Ia memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan,” katanya.

Tambahnya, polis yakin penahanan suspek melumpuhkan satu lagi sindiket dadah di daerah ini dalam tempoh seminggu.

Tamat

#kw dadah, rampasan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mei 2018 @ 2:33 PM