ISMAIL Kassim. FOTO arkib NSTP
Adie Suri Zulkefli dan Muhammad Mustakim Ramli

BARISAN Nasional (BN) bersetuju menamakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim sebagai calon Menteri Besar Perlis yang baru.

Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, persetujuan menamakan Ismail itu hasil perbincangan dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak, malam tadi.

“Kita mencadangkan nama Ismail dan Najib bersetuju dengan cadangan berkenaan.

“Mengenai majlis angkat sumpah.. ia akan dimaklumkan Istana Arau,” katanya pada sidang media, di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar, hari ini.

Mengulas dakwaan beliau dan ADUN BN akan melompat ke Pakata Harapan (PH), Shahidan menafikan perkara berkenaan.

“Tidak benar... kami menang 10 kerusi berbanding PH hanya tiga kerusi dan PAS pula dua kerusi.

“Mustahil untuk kami ke pihak sebelah sana. Walau apa dakwaan sekalipun kami tidak akan melompat,” katanya.

Shahidan berkata, tidak timbul isu kerajaan negeri bergantung kepada kerajaan pusat berikutan terdapat dakwaan Perlis menghadapi masalah kewangan.

“Kita akan cari jalan bagi memastikan nasib rakyat Perlis terbela,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mei 2018 @ 2:51 PM