KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hadir pada Majlis Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa Sabah, di Teluk Likas, Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin


DATUK Seri Mohd Shafie Apdal yang mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah yang baru malam tadi, menghadiri acara rasmi pertamanya, hari ini.

Beliau hadir pada program Perlumbaan Perahu Naga Persekutuan Persatuan Cina Sabah (FCAS) 2018 yang berlangsung di Teluk Likas, Kota Kinabalu, 9 pagi tadi.

Majlis itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin bersama isteri masing-masing.

Yang turut hadir, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din dan Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Joannes Solidau.

Turut kelihatan ialah beberapa pemimpin DAP termasuk Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjong, Jimmy Wong dan ADUN Likas, Tan Lee Fatt.

Mohd Shafie mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di Istana Negeri, malam tadi walaupun Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman yang mengangkat sumpah jawatan itu Khamis lalu, menafikan meletak jawatan.

Mohd Shafie yang memimpin Parti Warisan Sabah (WARISAN) memperoleh majoriti mudah apabila WARISAN-Pakatan Harapan (PH) yang mendapat 29 kerusi menerima kemasukan enam ADUN daripada BN sekali gus membolehkan mereka membentuk kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mei 2018 @ 10:24 AM