Teoh Pei Ying & Mohd Hasbi Sidek
mohd.hasbi@nstp.com.my


LELAKI terpaksa menerima 14 jahitan di kepala selepas terkena serpihan cermin tingkap dari unit di Pangsapuri Angsana, Persiaran Mewah, USJ 1, Subang Jaya, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 11 malam itu, mangsa dikatakan berada di bawah pangsapuri berkenaan apabila tiba-tiba satu objek terjatuh lalu mengenai kepalanya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, pihaknya masih belum mengenalpasti individu yang tidak bertanggungjawab bertindak membuang serpihan kaca tingkap berkenaan.

"Seorang lelaki berusia 21 tahun tampil membuat laporan di balai polis mendakwa bapanya yang berusia 47 tahun mengalami kecederaan di kepala ketika berada di blok C akibat terkena objek yang terjatuh dari tingkat atas.

"Mangsa dirawat di hospital swasta di Subang Jaya, dengan 14 jahitan di kepala," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu dan menolak kemungkinan ia membabitkan kes khianat kerana suspek dipercayai hanya membuang objek berkenaan dari tingkat atas tanpa niat mencederakan mangsa.

"Kawasan kejadian tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan pihak kami belum mengenalpasti suspek termasuk objek berkenaan dibuang dari tingkat berapa.

"Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana kecuaian sehingga mendatangkan kecederaan terhadap orang awam,” katanya.

Kejadian membuang objek dari tingkat atas bukan kali pertama berlaku, malah turut membabitkan kematian pada 15 Januari lalu apabila seorang remaja lelaki berusia 15 tahun maut selepas ditimpa kerusi dipercayai dicampak dari tingkat atas di Blok 102 PPR Seri Pantai.

Dalam kejadian 8.30 malam itu, S Sathiwaran pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) La Salle, Petaling Jaya dikatakan berjalan bersama ibunya, S Kasthurivai, 45, untuk pulang ke rumah mereka di tingkat 16 blok berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mei 2018 @ 6:17 PM