MUSA Aman mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, 10 Mei lalu. FOTO Bernama
Wan Faizal Ismayatim


PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman tidak meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah.

Perkara itu disahkan Setiausaha Akhbar beliau, Afeiza Khan menerusi kenyataan di Kota Kinabalu, hari ini.

"Tiada apa-apa perubahan. YAB Tan Sri Musa Haji Aman tidak meletak jawatan. Beliau masih Ketua Menteri yang sah," katanya.

Kenyataan itu menyusul selepas Ketua Menteri Sabah yang mengangkat sumpah malam tadi, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, hari ini meminta Musa meletak jawatan Ketua Menteri kerana sudah hilang kepercayaan daripada sebahagian besar ADUN.

Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) dilaporkan berkata, ada dua perkara yang boleh dibuat susulan kemelut politik di Sabah ketika in.

Pertama, katanya, membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Musa meletak jawatan tetapi dalam kes ini Pengerusi BN itu perlu meletak jawatan kerana sudah hilang kepercayaan.

Musa yang menjadi Ketua Menteri Sabah sejak 2004, mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri, malam Khamis lalu di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin selepas BN bersama Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) memiliki 31 dari 60 kerusi DUN.

Bagaimanapun, enam ADUN BN kemudian menyertai pakatan WARISAN dan Pakatan Harapan (PH) sekali gus memiliki 35 kerusi dan meraih majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mei 2018 @ 8:44 PM