DATUK Seri Azmin Ali masuk ke Pejabat Menteri Besar Selangor untuk hari pertama penggal ini dan memasukkan kad perakam waktu sebelum memulakan tugas di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. FOTO Ihsan Pejabat MB
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@nstp.com.my


DATUK Seri Mohamed Azmin Ali memulakan hari pertama tugasnya sebagai Menteri Besar Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam, hari ini.

Beliau yang berpakaian sut serba kelabu tiba sambil diiringi puluhan pegawai penjawat awam negeri pada 7.45 pagi.

Sebagai simbolik, Mohamed Azmin kemudian melakukan 'punch in' kad untuk memasuki pejabatnya pada 7.48 pagi.

Selain sesi fotografi, beliau turut berucap menyampaikan amanat kepada pegawai dan kakitangan Pejabat Menteri Besar Selangor.

Jumaat lalu, Mohamed Azmin, 54, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa dilantik sebagai Menteri Besar Selangor bagi penggal ketiga selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya mempertahankan negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan untuk pelantikan 10 EXCO Kerajaan Selangor di bawah pentadbiran baharu Mohamed Azmin bagi penggal ini, hari ini.

Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan itu akan diadakan di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang, pada 2 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 10:39 AM