ADNAN Yaakob.
Amin Ridzuan Ishak

Kuantan: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dilihat calon paling sesuai dilantik sebagai Menteri Besar berdasarkan perkembangan politik semasa negara yang menyaksikan tampuk pemerintahan Kerajaan Pusat bertukar kepada Pakatan Harapan (PH).

Ini kerana Adnan, 68, bukan sahaja membuktikan kemampuannya mengekalkan kemenangan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ketika negeri ditadbir BN lain ditawan PH tetapi beliau juga mempunyai hubungan baik dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sumber berkata, hubungan baik antara mereka berdua penting bagi memastikan kelancaran pembangunan di Pahang, malah Dr Mahathir adalah individu yang melantik Adnan sebagai Menteri Besar menggantikan Tun Khalil Yaakob pada 1999.

“Landskap politik kini berubah kerana Kerajaan Pusat ditadbir oleh PH bukan lagi BN, jadi pembawaan seorang Menteri Besar yang bukan datang daripada parti sama adalah penting...agak sukar sekiranya orang baru dilantik dan tidak mempunyai hubungan baik dengan Dr Mahathir.

“Kita tahu Adnan sebelum ini tidak pernah bercakap buruk mengenai Dr Mahathir dan menyatakan dirinya terhutang budi dengannya kerana melantik sebagai Menteri Besar pada 1999, mungkin mudah baginya berurusan dengan Kerajaan Pusat dipimpin PH,” katanya.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Pahang yang sepatutnya diadakan di Istana Abu Bakar, Pekan semalam ditangguhkan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah kepada selewat-lewatnya Rabu depan.

Tengku Abdullah dilaporkan bertitah, ia kerana baginda memerlukan masa untuk membuat keputusan dan mengenal pasti semua anggota kerajaan.

Nama Adnan disebut-sebut untuk mengangkat sumpah pada istiadat berkenaan, sekiranya dilantik semula beliau akan menjadi Menteri Besar paling lama berkhidmat selama 19 tahun di negeri ini.

Pada PRU-14, BN memperoleh 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memperoleh majoriti mudah sekali gus membolehkan kerajaan negeri dibentuk manakala PH pula sembilan kerusi dan PAS lapan kerusi.

Mengulas lanjut, sumber itu berkata, tidak timbul isu perubahan tampuk pemerintahan kerajaan negeri daripada BN kepada PH atau PAS kerana perbezaan jumlah wakil rakyat adalah besar.

“BN ada 25 kerusi dan sekiranya PH serta PAS bergabung pun mereka hanya mempunyai 17 kerusi, Pahang berbeza dengan negeri yang mempunyai majoriti tipis seperti Perak.

“Tiada juga perkembangan ada wakil rakyat BN melompat kepada PH dan PAS, kalau hendak ubah kerajaan ia harus membabitkan jumlah ramai,” katanya.

Selain daripada Adnan, calon lain mungkin dipertimbangkan sebagai Menteri Besar adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 10:52 AM