DUA lelaki serta seorang kanak-kanak maut dalam kemalangan membabitkan kereta dinaiki mereka dan sebuah lori di Kilometer 22 Jalan Lipis €“Merapoh, Kuala Lipis jam 5.50 pagi tadi. FOTO Ihsan PDRM Pahang
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


DUA lelaki dan seorang kanak-kanak maut selepas kereta dinaiki merempuh bahagian belakang lori di Kilometer 22 Jalan Lipis –Merapoh, Kuala Lipis, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 5.50 pagi itu, mangsa Chong Mum Tong, 48, Len Wee Keong, 43, dan Chan Yung Sing, 11, maut selepas parah di bahagian kepala dan badan.

Kesemua mangsa berasal dari Gua Musang dan difahamkan mereka dalam perjalanan dari daerah itu ke Kuala Lipis.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superitendan Azry Akmar Ayob, berkata, siasatan awal mendapati kereta Perodua Bezza dipandu Mum Tong dikatakan hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang lori dari arah Gua Musang menuju ke Kuala Lumpur.

“Kita tidak menolak kemungkinan kereta itu dipandu dalam keadaan cuai dan laju sebelum hilang kawalan.

“Wee Keong yang berada di tempat duduk hadapan adalah kawan kepada Mum Tong manakala Yung Sing yang duduk di bahagian belakang kenderaan adalah anak kawan kepada Wee Keong.

“Semua mereka yang tersepit di dalam kereta dibawa keluar bomba sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat,” katanya di sini, hari ini.

Azry Akmar berkata, pemandu lori Hasnan Hussin, 44, yang memandu secara berseorangan dari Kuala Krai menuju ke ibu negara tidak mengalami sebarang kecederaan dan keterangannya sudah diambil untuk membantu siasatan.

Katanya, siasatan di lokasi kejadian mendapati jalan raya berkeadaan lurus selepas susur keluar Lebuhraya Central Spine Road (CSR) Selborne menghala ke Lipis serta mempunyai lampu jalan.

“Sampel darah semua mangsa sudah diambil dan akan dianalisis ke Jabatan Kimia, ujian air kencing juga akan dilakukan ke atas pemandu lori.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 12:31 PM