Sultan Sharafuddin berkenan bergambar bersama barisan Exco Kerajaan Negeri Selangor selepas Majlis Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Dan Ikrar Aku Janji Serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan. FOTO Roslin Mat Tahir
Norrasyidah Arshad dan Siraj Mohd Zaini
cnew@nstp.xom.my

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah dan ADUN Selat Klang antara muka baharu dilantik dalam barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor yang mengangkat sumpah hari ini.

Izham Hashim dan Datuk Abdul Rashid Asari, masing-masing mengangkat sumpah jawatan terbabit di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, Klang.

Dalam majlis berkenaan, tiga muka lama yang dikekalkan turut mengangkat sumpah iaitu Datuk Teng Chang Khim, Amirudin Shari dan V Ganabatirau.

Bekas Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang juga ADUN Lembah Jaya, Haniza Mohamed Talha serta ADUN Seri Serdang, Dr Siti Mariah Mahmud dan ADUN Kajang, Hee Loy Sian turut dilantik ke jawatan berkenaan.

Barisan Exco Selangor turut menampilkan dua lagi muka baru iaitu ADUN Kinrara Ng Sze Han dan ADUN Seri Setia, Dr Shaharuddin Badaruddin.

Sultan Selangor turut mengurniakan surat cara kepada semua Exco terbabit.

Istiadat itu disaksikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Barisan Exco terbabit turut melafazkan ikrar akujanji merangkumi 10 perkara yang perlu dipenuhi serta dipatuhi sepanjang memegang jawatan terbabit.

Antaranya ialah memelihara dan menjunjung prinsip Rukun Negara, memelihara dan melindungi kesucian dan keagungan agama Islam sebagai agama rasmi negeri serta memastikan agama Islam tidak diganggu gugat selain menghormati agama bukan Islam.

Selain itu memelihara kedaulatan institusi raja dan mempertahankannya daripada dicemari dan diganggu pihak lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 6:33 PM