ABU Kassim Mohamed. FOTO arkib NSTP
Wartawan NSTP


BEKAS Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed, dipercayai hanya ‘selangkah’ saja lagi untuk menyertai semula agensi penguatkuasaan itu.

NSTP mendapat maklumat bahawa pegawai kerajaan yang memegang pangkat Gred Utama Turus II itu akan pulang ke tanah air, Rabu ini sebelum bertemu dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, keesokan harinya.

Ketika ini, Abu Kassim dikatakan berada di Makkah mengerjakan umrah.

NSTP turut difahamkan, Abu Kassim maklum dengan perkembangan itu, malah pegawainya juga dikatakan sudah mengadakan pertemuan dengan seorang pegawai tertinggi SPRM, pagi tadi, namun tidak dapat dipastikan siapa pegawai yang ditemui itu.

Pertemuan dengan Dr Mahathir yang dijangka Khamis ini, akan membabitkan isu penjawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM, selain berkemungkinan besar mengenai isu siasatan terhadap skandal syarikat pelaburan strategik, 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Abu Kassim dijangka kembali ke agensi penguatkuasaan itu memandang beliau masih seorang pegawai SPRM dan menjadi antara individu pertama yang mengetuai siasatan skandal 1MDB dan SRC International, pada 2016.

Berpengalaman selama 34 tahun bersama SPRM, Abu Kassim yang disalah anggap ramai sebagai sudah bersara, sebenarnya diletakkan di sebuah unit kecil di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Malah, sehingga kini, SPRM juga tidak pernah menutup siasatan terhadap1MDB dan SRC, tetapi ia berada dalam status ‘pending’ .

Pada Jun 2016, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa, mengeluarkan kenyataan bahawa Abu Kassim tidak akan meneruskan perkhidmatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM mulai 1 Ogos, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menamatkan perkhidmatannya, selaras dengan subseksyen 5(3) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).

Abu Kassim digantikan dengan Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang sebelum itu mengetuai Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara (NNRET), Jabatan Peguam Negara.

Dzulkifli meletakkan jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dan sudah menyerahkan surat kepada Ali, dengan notis sebulan bermula hari ini.

Difahamkan, peletakan jawatan Dzulkifli itu mengejutkan seluruh kakitangan SPRM.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 8:38 PM