Shahaniza melafaz sumpah taat setia di hadapan Tengku Abdullah kelmarin. FOTO BERNAMA
T.N.Alagesh; Mohamad Azim Fitri Abd Aziz dan Shahrinahar Latib
cnews@nstp.com

PELAKSANAAN tempoh dua tahun perkhidmatan diberi kepada Menteri Besar baharu serta barisan Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, menunjukkan baginda serius untuk melihat pentadbiran kerajaan negeri yang cekap.

Exco yang baharu dilantik Datuk Seri Shahaniza Samsuddin berkata, apa yang dititahkan Tengku Abdullah itu jelas bahawa baginda mahu melihat barisan pentadbiran negeri yang komited berkhidmat kepada rakyat serta mempamerkan prestasi yang baik.

“€œIa adalah hak Pemangku Raja Pahang untuk berbuat demikian saya rasa bila baginda titahkan perkara ini bagi memastikan mereka yang dilantik bekerja keras serta sentiasa serius dalam menjalankan perkhidmatan,” katanya ketika ditemui di Pekan, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul itu memaklumkan, beliau tidak melihat tempoh dua tahun itu sebagai satu tempoh yang singkat sebaliknya ia adalah kesempatan terbaik untuk mereka membuktikan kemampuan masing-masing.

“€œSaya tahu ia bukan kerja mudah tapi, saya dan rakan-rakan lain akan memberikan yang terbaik,”€ katanya.

Sementara itu, Shahaniza menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Menteri Besar baru, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Tengku Abdullah untuk menjalinkan kerjasama erat dengan kerajaan pusat yang ditunjangi PH.

Terdahulu ADUN Jelai itu dilantik menjadi Menteri Besar di Istana Abu Bakar, di Pekan hari ini.

Turut dilantik lapan Exco termasuk tiga muka baru bagi memperkuatkan pentadbiran kerajaan negeri.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) Barisan Nasional (BN) berjaya memperoleh 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri.

Pakatan Harapan (PH) pula memperoleh sembilan kerusi DUN dan PAS lapan kerusi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 12:29 AM