MAJLIS penutup Kursus Asas Komando Siri AK 1/2018 di Pusat Latihan Peperangan Khusus, Kem Sungai Udang, Melaka.
KOMANDER Pusat Latihan Peperangan Khusus (NSOF) Brig Jeneral Mazlan Md Sahalan menganugerahkan beret hijau kepada anggota GGK selepas berjaya mengharungi Kursus Asas Komando Siri AK 1/2018.
KUMPULAN empat pegawai dan 59 anggota Tentera Darat yang dianugerahkan beret hijau komando selepas tamat latihan.
DEMONSTRASI keberanian tempur ditunjukkan anggota GGK ATM.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Latihan ikhtiar hidup di hutan dan paya tanpa bekalan makanan selama seminggu bagi dua jenis latihan ini adalah antara cabaran getir dilalui peserta kursus asas komando sebelum ditauliahkan sebagai anggota Gerup Gerak Khas (GGK) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Itu sebahagian cabaran dilalui 140 anggota ATM dan lima pegawai yang menyertai Kursus Asas Komando Siri AK 1/2018 bertempat di Pantai Betutu Laut, Pusat Latihan Peperangan Khusus, Kem Sungai Udang, Melaka.

Daripada jumlah itu hanya empat pegawai dan 59 anggota Tentera Darat (TD) berjaya menamatkan kursus selama 12 minggu bermula 11 Februari lalu bertujuan memilih anggota komando yang benar-benar layak berkhidmat di dalam GGK.

Pegawai Koordinasi Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) Mejar Nor Hasnizar Nor Rashid berkata, kursus ini dibahagikan kepada lima peringkat merangkumi peringkat kem, hutan, long march, paya dan laut.

“Untuk layak bergelar anggota komando dan secara langsung dianugerahkan beret hijau, dagger komando dan sijil, penuntut perlu lulus setiap peringkat diwajibkan.

“Seramai lima pegawai dan 140 anggota dari pelbagai kor TD melapor diri untuk menghadiri kursus ini.

Bagaimanapun, hanya empat pegawai dan 59 anggota TD sahaja yang berjaya dianugerahkan beret hijau komando.

“Dalam masa sama, Leftenan M Azmi Jaafar Zakaria dari Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja dinobatkan penuntut terbaik pada kursus siri kali ini,” katanya.

Menurutnya, ujian peringkat kem sangat menguji kekuatan fizikal apabila setiap penuntut tidak mengetahui jadual dan ujian yang akan dilaksanakan.

“Penuntut hanya mengetahui ujian yang akan dilaksanakan sejurus selepas arahan latihan dibacakan pada pagi berkenaan.

“Ujian dilaksanakan adalah larian tiga batu (siang dan malam), lima batu (siang dan malam), tujuh batu (siang dan malam) dan sembilan batu (siang dan malam),” katanya.

Selain itu, peserta perlu menjalani ujian ‘Long March’ sejauh 160 kilometer dalam masa tiga hari dua malam.

“Ketika latihan ini, calon akan berjalan bersama peralatan lengkap termasuk bekalan makanan,” katanya pada majlis penutup kursus asas komando siri 1/2018 di Pusat Latihan Peperangan Khusus, kem Sungai Udang, Melaka, kelmarin.

Dianggarkan lebih 1,000 pengunjung termasuk ahli keluarga penuntut hadir menyaksikan upacara itu.

Dalam pada itu, pameran peralatan dan aset GGK turut diadakan sepanjang upacara berlangsung.

Acara lain yang turut diadakan adalah demonstrasi penyusupan melalui air, menyelamat tebusan, pertunjukan Seni Mempertahankan Diri (SMD), demonstrasi kepakaran oleh skuadron lawan keganasan dan demonstrasi sukan menembak oleh International Practical Shooting Confideration menggunakan peluru hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 6:34 AM