Nor Farhani Che Ad


LELAKI parah akibat ditetak dalam satu kejadian samun di kawasan sebuah pusat beli-belah di Sungai Petani, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid, berkata dalam kejadian 11 malam itu, mangsa berusia 58 tahun itu dikatakan berhenti di tempat kejadian untuk membuang air kecil sebelum didatangi empat lelaki yang bersenjatakan sebilah parang.

“Melalui siasatan awal, mangsa yang berhenti di kawasan kejadian diserang sebelum disamun empat lelaki yang menaiki dua motosikal.

“Suspek bertindak menetak mangsa sebelum melarikan telefon bimbit mangsa,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Saifi berkata, mangsa cedera parah di bahagian kepala, tangan dan kaki akibat ditetak suspek dan dibawa Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk menerima rawatan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera ketika melakukan rompakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 7:43 PM