ALWI (tengah) menyerahkan sijil pendaftaran PH kepada Dr Mahathir (kanan) ambil disaksikan Muhyiddin. FOTO Ihsan Facebook PH
Zanariah Abd Mutalib
zanariah_mutalib@nstp.com.my


PENDAFTAR Pertubuhan (ROS) meluluskan pendaftaran Pakatan Harapan (PH), selepas badan itu membatalkan notis pembubaran sementara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), berkuat kuasa semalam.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, keputusan membatalkan notis di bawah Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966 bertarikh 5 April itu dibuat selepas ROS menerima dan mempertimbangkan maklumat yang diminta daripada ROS, sebelum ini.

"Di bawah Seksyen 14(6), ROS boleh membatalkan notis di bawah Seksyen 14(5) apabila maklumat yang diminta itu diberikan.

"Keputusan dicapai selepas pertimbangan ke atas maklumat yang dikemukakan pihak PPBM yang diterima ROS," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Alwi berkata, dengan penyelesaian isu itu, permohonan pendaftaran PH juga diberikan kelulusan selaras dengan Seksyen 7, akta yang sama, berkuat kuasa semalam.

"Justeru, PPBM dan PH boleh menjalankan aktivitinya selaras dengan objektif dan perlembagaan berdaftarnya serta menjalankan setiap urusan mengikut Akta 335," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 12:37 PM